PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke separuh akhir selepas membenam cabaran wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton China Masters di Shenzhen, China, hari ini.
Pasangan No. 3 dunia yang baru sahaja di nobatkan selaku juara dunia melakar kemenangan ke atas gandingan No. 6 dunia itu 21-12, 12-21, 21-17 dalam masa 1 jam 1 minit.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan kedua diukir Tang Jie-Ee Wei ke atas Chun Man-Ying Suet selepas kali terakhir mereka bertemu pada 2023 di Finland.
Pada separuh akhir, esok, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan beregu tuan rumah sama ada Guo Xin Wa-Chen Fang Hui atau pasangan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Seandainga Yan Zhe-Dong Ping menjadi lawan mereka di separuh akhir, maka, Tan Jie-Ee Wei bakal berdepan satu laluan sukar jika rekod pertemuan menjadi ukuran yang berpihak kepada beregu China itu 6-2.
Namun, jika kejutan berlaku dan gandingan No. 5 dunia, Xin Wa-Fang Hui yang menanti, maka, kelebihan rekod pertemuan berpihak kepada Tang Jie-Ee Wei 2-1.
Siapapun yang bakal muncul sebagai pencabar, esok, Tang Jie-Ee Wei turut perlu berdepan kebingitan sorakan penyokong tuan rumah yang sudah pasti akan memberikan sokongan padu kepada pemain mereka. – UTUSAN








