PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mendapat suntikan moral selepas dilantik sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan daripada syarikat insurans, AIA.
Pelantikan beregu No.3 dunia itu, adalah selari dengan objektif serta komitmen AIA dalam menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup aktif dan lebih seimbang.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng optimis bahawa perubahan positif mampu dicapai menerusi penglibatan dalam sukan.
“Di AIA, kami percaya akan kuasa sukan dalam mencetuskan perubahan positif. Ia membina daya tahan, fokus dan keseimbangan.
“Sze Fei-Izzuddin mencerminkan nilai-nilai ini melalui dedikasi dan pencapaian mereka. Kami mengalu-alukan mereka ke dalam keluarga AIA,” katanya dalam satu kenyataan.
Gandingan yang terkenal dengan julukan DinFei itu turut berpendapat sukan bukanlah sekadar kekuatan fizikal dan kemahiran tetapi lebih kepada gaya hidup.
“Kejayaan dalam sukan bukan sekadar kekuatan fizikal dan kemahiran. Kami telah merasai sendiri bagaimana sukan membentuk peribadi dan membina kekuatan mental.
“Kami berbesar hati menyertai AIA Malaysia sebagai Duta Kesihatan dan Kesejahteraan. Kami harap dapat berkongsi perjalanan kami bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia,” ujar Sze Fei.
Sze Fei dan Izzuddin bukanlah nama asing dalam arena badminton dunia apabila mereka pernah meraih pelbagai kejuaraan termasuk Terbuka China dan Terbuka Jepun.–UTUSAN