Speedy Tigress kekal lima terbaik Asia

Speedy Tigress kekal lima terbaik Asia

Pasukan hoki wanita kebangsaan menamatkan kempen Piala Asia 2025 selepas membelasah Singapura 8-1 pada aksi klasifikasi tempat kelima dan keenam di Hangzhou, China hari ini. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki wanita kebangsaan menutup kempen Piala Asia Wanita 2025 dengan penuh bergaya selepas membelasah Singapura 8-1 dalam aksi penentuan tempat kelima di Gongshu Canal Sports Park, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengekalkan kedudukan kelima buat enam edisi berturut-turut, sekali gus menegaskan status Speedy Tigress sebagai antara lima pasukan terbaik Asia.

Perlawanan bermula dengan kejutan apabila Singapura mendahului pada minit keempat hasil jaringan pukulan sudut penalti Cheryll Chia.

Malaysia kembali bangkit menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar yang menyamakan kedudukan pada minit ke-18 sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad meletakkan pasukan di depan pada minit ke-32.

Ledakan sebenar hadir di suku ketiga apabila Anith Humaira Baharudin menyempurnakan penalti strok minit ke-38, disusuli jaringan penalti strok Nuramirah Shakirah Zulkifli seminit kemudian untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi dan Nuramirah menambah dua lagi gol pada minit ke-45 dan 46 sebelum Nur Afiqah serta Nur Aisyah Che Musa melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-51 dan 52.

Secara keseluruhan, Nur Afiqah dan Nuramirah masing-masing meledak dua gol, manakala empat lagi disumbangkan Nurmaizatul, Anith Humaira, Nur Iman Adawiyah dan Nur Aisyah.

Kemenangan besar itu menutup kempen Malaysia yang sebelum ini gagal mara ke kelompok ‘Super 4s’ selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga dengan tiga mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN