Kejayaan luar biasa dicatatkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah apabila menjadi satu-satunya sekolah menengah yang berjaya menaiki pentas anugerah di International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx 2025), sekali gus mengharumkan nama negeri Kedah dan Malaysia di persada dunia.
Pasukan inovasi dan robotik sekolah di bawah bimbingan Dr. Ismail Salleh dan Nurul Syazwana Kasa meraih dua pingat emas, satu perak, serta Anugerah Khas – Young Innovator.
Kejayaan berkenaan amat manis kerana pasukan tersebut bersaing dalam kategori terbuka bersama peserta daripada industri, universiti, dan institusi pengajian tinggi, namun tetap mampu menonjol dengan idea bernas dan teknologi yang memukau juri.
Antara projek yang mencuri perhatian ialah Smart AI Firebot: Redcue-X, robot pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kebakaran dan memadam api secara automatik menggunakan sistem penyembur air. Projek ini meraih Emas dan Anugerah Khas Young Innovator.
Satu lagi projek emas ialah Asqen Lotion Spray, losyen organik berasaskan herba tempatan dengan fungsi perlindungan kulit dan penghalau serangga manakala EcoAir Edu Kit: Environment Monitoring System yang memantau kualiti udara secara masa nyata pula merangkul perak dan tempat ketiga kategori E (elektrik, elektronik & komunikasi).
Pertandingan yang diadakan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah baru-baru ini menghimpunkan penyertaan antarabangsa daripada Korea Selatan, United Kingdom, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Bangladesh. Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Ketua pasukan inovasi, Umar Alfaruqi berkata, kejayaan tersebut hasil komitmen semua ahli yang sentiasa berbincang, membuat kajian mendalam, dan menjalani latihan persembahan bagi memastikan setiap aspek projek AI Firebot dipersembahkan dengan terbaik.
Sementara itu, Ismail berkata, pencapaian tersebut membuktikan pelajar tahfiz juga mampu bersaing dalam dunia kepintaran buatan (AI) dan teknologi moden.
“Mereka bukan sahaja mahir dalam bidang agama, tetapi mampu menguasai kemahiran abad ke-21 untuk bersaing dengan universiti dan industri di peringkat global,” ujarnya.
Nurul Syazwana Kasa pula menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti bahawa pelajar mampu mencapai kecemerlangan jika diberi peluang dan bimbingan. – UTUSAN