Slovakia malukan bintang Jerman

Slovakia malukan bintang Jerman

PEMAIN tengah Slovakia, Ondrej Duda (kiri) melepasi kawalan pemain Jerman, Florian Wirtz dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRATISLAVA: Juara Piala Dunia empat kali, Jerman dimalukan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 apabila tumbang 0-2 kepada Slovakia, sekali gus memberi tamparan hebat buat pasukan gergasi Eropah itu.

Jerman yang menyasarkan untuk memenangi Piala Dunia kelima pada saingan 2026 nanti, mencatat kekalahan pertama di tempat lawan dalam sejarah kelayakan mereka dalam kejohanan berkenaan.

Kekalahan itu juga menyaksikan mereka tewas tiga kali berturut-turut di pentas antabangsa selepas tumbang kepada Portugal dan Perancis dalam saingan Liga Negara-Negara pada Jun lalu.

Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann mengakui pemainnya tidak beraksi di tahap terbaik hingga memberi peluang buat lawan menggunakan kesempatan untuk menewaskan pasukannya.

“Kami tidak menunjukkan emosi dalam permainan hari ini. Daripada segi semangat, lawan jauh lebih baik daripada kami.

“Kami mahu ke Piala Dunia, tetapi hari ini kami jauh daripada sasaran itu. Kami memilih pemain terbaik di Jerman, tetapi mungkin kami perlu lebih mengutamakan mereka yang benar-benar sanggup berjuang,” katanya.

Jerman yang kali terakhir bergelar juara dunia pada tahun 2014, ketinggalan pada minit 42 selepas satu serangan balas Slovakia menyaksikan David Hanchko mencetakkan nama selaku penjaring untuk mengejutkan kem Jerman.

Slovakia sekali lagi menghukum lawan apabila David Strelec memperdaya Antonio Ruediger sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Baumann pada minit ke-55.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada dua edisi Piala Dunia terdahulu, Jerman sekali lagi gagal menunjukkan kebangkitan apabila buntu mencipta peluang dan kurang idea di bahagian serangan.

Slovakia akan berkunjung ke Luxembourg pada aksi Kumpulan A seterusnya Ahad ini, manakala Jerman menanti kunjungan Ireland Utara di laman sendiri.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN