PETALING JAYA: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) bawah 18 (B-18) lelaki negara meletakkan sasaran untuk ke final dalam Kejohanan Ragbi Asia B-18 7s yang diadakan di Hohhot, China, hujung minggu ini.
Begitu pun, ketua jurulatihnya, Mohd Syahir Asraf Rosli mengakui mereka bakal berdepan cabaran sengit untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai dua pasukan teratas bagi melayakkan diri ke separuh akhir piala.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B yang dibarisi Taiwan, Jepun dan Kazakhstan.
“Sasaran utama kami adalah layak ke separuh akhir bagi menghidupkan peluang ke final.
“Kazakhstan mampu memberi cabaran daripada segi fizikal manakala Jepun pasukan yang bagus sebab mereka pernah beraksi dalam satu kejohanan di Fiji dan layak ke suku akhir. Taiwan pula memiliki kepantasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malaysia turut menghantar wakil bagi menyertai kategori wanita yang dipimpin oleh ketua jurulatihnya, Josephine Augustine diletakkan dalam Kumpulan D bersama India, Jepun dan Uzbekistan.
Dalam pada itu, Syahir enggan meletakkan tekanan kepada pemain sebaliknya berusaha mencipta kejayaan dengan menghadapi perlawanan satu demi satu.
“Semestinya kami nak mengekalkan momentum pasukan dan bermain sehabis baik demi memburu kemenangan dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya. – UTUSAN