PETALING JAYA: Skuad Bawah 23(B-23) negara kembali menghidupkan peluang ke Piala Asia B-23 2026 apabila membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Anak buah Nafuzi Zain tampil garang selepas dikecewakan Lubnan 0-1 dalam perlawanan pembukaan, dengan Aliff Izwan dan Fergus Tierney menjadi wira apabila masing-masing meledak dua dan tiga gol.
Malaysia bagaimanapun dikejutkan seawal minit ketujuh apabila kehilangan tonggak tengah, Haiqal Haqeemi yang mengalami kecederaan lutut.
Namun, semangat juang pemain muda negara tidak luntur, sebaliknya bangkit dengan jaringan pembukaan Aliff pada minit ke-12.
Hanya dua minit berselang, tandukan pertahanan Aysar Hadi menggandakan kelebihan sebelum Tierney menambah gol ketiga pada minit ke-35.
Tierney terus mengamuk selepas rehat dengan dua jaringan pantas pada minit ke-48 dan 49 untuk melengkapkan hatrik, sebelum Aliff menambah gol keenam pada minit ke-60.
Pemain gantian, Ziad El Basheer kemudian melengkapkan pesta gol negara pada penghujung permainan, sekali gus memastikan kemenangan bergaya 7-0.
Malaysia akan berdepan tuan rumah, Thailand pada 9 September ini dan kemenangan pasti menjadi sasaran utama skuad kendalian Nafuzi.-UTUSAN