Sempena sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ke-68, Sekolah Kebangsaan (SK) Banggu, Kota Bharu Kelantan baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak dan Melagukan Syair yang disertai murid Tahap Dua.
Pertandingan itu bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat dalam bidang puisi, malah menanam kecintaan terhadap tanah air melalui penghayatan sastera Melayu.
Seramai 19 murid mengambil bahagian dengan menampilkan sajak dan syair bertemakan kemerdekaan, perjuangan serta semangat patriotik.
Menariknya, meski pun ada peserta masih belum fasih membaca dan menulis sepenuhnya, keberanian mereka tampil di pentas menjadi bukti semangat tinggi yang wajar dicontohi.
Pertandingan dimulakan dengan sesi pengenalan ringkas mengenai deklamasi sajak dan seni melagukan syair oleh guru-guru Bahasa Melayu. Murid turut didedahkan dengan teknik asas termasuk intonasi, gaya bahasa, sebutan, emosi serta penghayatan.
Dalam kategori deklamasi sajak, peserta memilih karya sendiri atau karya tokoh sastera tanah air, manakala kategori syair pula menampilkan persembahan berlatarkan syair klasik dan moden yang disesuaikan dengan melodi masing-masing.
Guru penyelaras pertandingan, Noriha Che Wail Noraini berkata, pendedahan awal kepada dunia puisi bukan sahaja mengasah keyakinan diri murid, malah merangsang pemikiran kritis serta kemahiran berbahasa.
“Anak-anak ini memiliki daya imaginasi yang tinggi. Apabila diberi peluang menyampaikan sajak atau syair, mereka belajar mengekspresikan emosi, cinta kepada negara dan penghargaan terhadap perjuangan masa lalu,” katanya.
Antara tajuk sajak dan syair yang dipersembahkan termasuk Tanah Airku Merdeka, Jalur Gemilangku, Syair Perjuangan Tok Janggut dan Wira Tak Didendang. Persembahan murid nyata
mencuri perhatian guru serta rakan-rakan yang hadir. – UTUSAN










