PETALING JAYA: S. Sivasangari berada di landasan tepat mempertahankan gelaran, manakala kejutan besar dilakar Ng Eain Yow ke atas jaguh No. 5 dunia, Marwan Elshorbagy pada suku akhir Kejohanan Skuasy Klasik London di London, England, awal pagi tadi.
Bintang No. 8 dunia, Sivasangari menyingkirkan pemain yang menjadi harapan tuan rumah, Jasmine Hutton 11-9, 11-5 dalam masa 20 minit.
Namun, pada separuh akhir yang dijangka berlangsung lewat tengah malam ini (waktu Malaysia), Sivasangari perlu menghitung pertemuan dengan bintang muda Mesir, Amina Orfi yang menghuni ranking No. 5 dunia.
Amina, 18, yang merupakan juara remaja dunia tidak berdepan masalah menewaskan wakil Scotland, Georgia Adderley 11-4, 11-5 dalam masa 23 minit.
Berdasarkan rekod pertemuan 1-4 yang tidak berpihak kepada anak jati Sungai Petani, Kedah itu dan satu-satunya kemenangan pada Terbuka Hong Kong, dua tahun lalu perlu dijadikan sumber inspirasi bagi menghidupkan keyakinan untuk memburu slot ke final.
Sivasangari ketika ditemu bual selepas perlawanan memuji permainan Hutton yang disifatkannya telah banyak meningkat dan wakil England itu juga dianggap sebagai pemain yang berbahaya.
“Saya pula kekal fokus dengan perancangan yang telah diatur sehingga ke hujung aksi.
“Perlawanan semalam (pusingan kedua), saya masih belum benar-benar menyesuaikan diri, tetapi, hari ini, saya telah bersedia kerana saya lebih memahami keadaan gelanggang,” katanya.
Mengulas mengenai Amina, Sivasangari berkata, pemain itu masih muda, tetapi, dia berjaya berada dalam kalangan pemain terbaik dunia.
“Saya bakal mengharungi satu laluan yang sukar,” kata Sivasangari yang merangkul gelaran pada kejohanan berstatus Gold itu, tahun lalu, selepas berhempas pulas membenam beberapa orang bintang dunia.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain No. 12 dunia, Eain Yow mencipta kemenangan sulung ke atas bintang No. 5 dunia, Marwan Elshorbagy dari England 11-9, 11-9 dalam masa 36 minit.
Sebelum ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu tewas dalam kesemua empat pertemuan lalu menentang Marwan.
Pada separuh akhir, satu lagi laluan getir terpaksa diharungi Eain Yow yang bakal berdepan jaguh No. 3 dunia, Paul Coll setelah wakil New Zealand itu mudah membenam cabaran
Youssef Soliman dari Mesir 11-2, 11-4 dalam masa 26 minit.
Berdepan Coll, sekurang-kurangnya Eain Yow pernah menang sekali daripada tujuh pertemuan yang dicatatnya pada Terbuka Singapura, tiga tahun lalu. – UTUSAN