Semangat merdeka anak cilik generasi Felda Jengka Maran

Semangat merdeka anak cilik generasi Felda

NUR MARISSA MOHAMAD NIZAMUDDIN memperagakan pakaian berkonsepkan merdeka sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Felda Jengka 11, Maran, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kreativiti dan semangat patriotisme terserlah apabila murid tahun tiga, Nur Marissa Mohamad Nizamuddin, 9, daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 3, Selangor dinobatkan Johan Pakaian Merdeka pada sambutan Bulan Kemerdekaan di Felda Jengka 11, Maran, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Persatuan Sahabat 60-an Felda Jengka Maran bersama komuniti setempat itu berlangsung penuh meriah dengan penyertaan anak-anak kecil yang tampil bergaya dalam kostum berinspirasikan Jalur Gemilang.

Nur Marissa memukau juri dengan pakaian bertemakan merdeka yang dihiasi motif bunga raya, wau Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri pada sayap yang digayakan, menjadikan persembahannya penuh simbolik dan sarat dengan makna kebangsaan.

Lebih mengagumkan, ibu bapanya, Mohamad Nizamuddin Katek, 33, anak peneroka Felda Jengka 21 dan isterinya, Nurul Nadia Ismail, 35, anak peneroka Felda Jengka 11, sanggup berhabis hampir RM500 demi menyiapkan busana bersejarah itu.

“Walaupun tinggal di perantauan, kami balik ke tanah kelahiran semata-mata untuk menyokong program patriotik ini. Bagi kami, bukan soal kemenangan tetapi mendidik anak memahami erti kemerdekaan sebenar,” kata Nurul Nadia ketika ditemui Utusan Pelajar. Menurutnya, penghasilan pakaian itu adalah hasil idea bersama keluarga.

“Kami mahu anak-anak membesar dengan semangat cinta negara. Simbol-simbol pada pakaian ini membawa mesej bahawa Malaysia sebuah negara berdaulat yang mesti dipertahankan,” ujarnya.
Tiga murid daripada SK (LKTP) Jengka Sebelas menerima hadiah masing-masing iaitu naib johan Aaira Zhafira Iman Ahmad Ikhwan,8, ketiga Nur Kaseh Humaira Nurnekman,9, dan Nur Anis Sofis Mohd. Aspanizan,7 mencuri perhatian dengan kostum berkonsepkan Jalur Gemilang dan bunga raya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Pendidikan MARA ( YPM) Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, yang merasmikan program berkenaan. Beliau memuji usaha persatuan serta masyarakat Felda yang terus memupuk semangat kebangsaan generasi baharu.

“Anak-anak inilah pelapis negara. Jika sejak kecil mereka diwarnai dengan nilai patriotik, kita yakin mereka bakal menjadi generasi yang cintakan tanah air dan menghargai pengorbanan pejuang kemerdekaan,” katanya.

Beliau turut menekankan agar masyarakat Felda terus memainkan peranan sebagai benteng kekuatan negara dengan mendidik generasi muda menghargai keamanan dan kemakmuran Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN