PETALING JAYA: “Orang kata Jojo sudah kembali, hakikatnya saya tidak pernah hilang.”
Demikian reaksi penuh yakin jaguh muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar selepas menumbangkan petarung Maghribi, Zakaria El Jamari dalam masa dua minit di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Kemenangan bergaya menerusi ‘technical knockout’ (TKO) pusingan pertama ONE Fight Night 35 itu dianggap sebagai kebangkitan semula Johan yang lebih mesra disapa Jojo itu selepas melalui laluan berliku sejak awal tahun.
Jojo berkata kemenangan itu bukan sekadar menutup mulut pengkritik, sebaliknya menjadi bukti dirinya sentiasa berada dalam gelanggang untuk memburu kejayaan.
“Orang kata Jojo sudah kembali, tetapi kebenarannya, saya tidak pernah pergi ke mana-mana. Alhamdulillah,” kata Jojo menerusi laman sosial Instagram.
Sejak loceng pusingan pertama dibunyikan, Jojo tampil agresif tanpa belas kasihan yang memaksa El Jamari bertahan di tali gelanggang sebelum menerima ‘peluru’ tumbukan dan tendangan tanpa henti.
Pukulan di bahagian badan yang kencang diikuti siku tajam ke bahagian pelipis membuatkan lawan rebah longlai, sekali gus memaksa pengadil menamatkan perlawanan tanpa ragu dalam masa dua minit.
Aksi luar biasa itu bukan sahaja memadamkan rekod hambar tiga kekalahan dalam empat pertarungan terdahulu, malah membuktikan bakat pertarung Malaysia itu masih relevan untuk mencabar gelaran dunia.
Untuk rekod, Johan sebelum ini tewas tipis dua kali berturut turut kepada Daez dari Columbia menerusi keputusan split decision pada Jun, manakala kalah kepada Estupinan menerusi keputusan juri pada Januari.
Kali terakhir Jojo merasai nikmat kemenangan ialah pada 8 Disember tahun lalu apabila dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares, menerusi kemenangan knockout (KO) dalam tempoh 36 saat.-UTUSAN