Saddam dan anaknya jadi tumpuan, 3,000 sertai Spartan Malaysia

Saddam dan anaknya jadi tumpuan, 3,000 sertai Spartan Malaysia

PEMENANG Pingat Sukan SEA, Saddam Pittli ketika beraksi di Kejohanan Spartan edisi lalu.-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Acara Spartan Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung di Gamuda Cove, Selangor pada 18 dan 19 Oktober ini bakal memberi tumpuan kepada jaguh halangan negara, Saddam Pittli bersama anaknya yang berusia sembilan tahun, Syahid Al Zahran.

Saddam, 34, yang juga pemenang pingat Sukan SEA dan duta Spartan, akan beraksi di hadapan penyokong tempatan bersama anaknya Syahid yang menyertai perlumbaan ‘Spartan Kids’ sebagai duta junior.

Acara yang berlangsung dua hari itu dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta dari 19 negara, sekali gus mengukuhkan reputasi Spartan sebagai acara bertaraf antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Selangor sebagai destinasi sukan ketahanan dunia tersebut.

“Berlumba di tanah air memang istimewa. Kali ini lebih bermakna kerana anak saya juga berada di laluan sama.

“Spartan bukan hanya tentang persaingan tetapi juga membina ketahanan bersama keluarga,” kata Saddam yang telah menyertai 32 perlumbaan Spartan merangkumi hampir 300 kilometer serta meraih dua pingat Trifecta.

Syahid Al Zahran

Bagi Syahid, dia teruja untuk bersaing di perlumbaan Spartan Kids bagi menguji kemampuan dirinya, selain membuktikan bahawa kanak-kanak juga mampu menyertai acara sebegini.

“Saya pernah menyertai Spartan Kids sebelum ini dan menjalani latihan bersama ayah. Dia selalu menekankan saya untuk sentiasa bekerja keras. Saya mahu buktikan bahawa kanak-kanak juga boleh jadi kuat dengan cara tersendiri,” katanya.

Spartan Malaysia 2025 menawarkan Trifecta Weekend, membolehkan peserta menyelesaikan tiga perlumbaan utama iaitu Sprint 5km bersama 20 halangan, Super (10km, 25 halangan) dan Beast (21km, 30 halangan) dalam perlumbaan yang berlangsung dua hari untuk mendapatkan medal Trifecta.

Selain itu, peserta cilik akan beraksi dalam Kids Race sejauh 1 hingg 3km dengan halangan berskala kecil manakala mereka yang ingin mencabar diri boleh menyertai cabaran ekstrem Hurricane Heat 4 jam.

Acara kali ini juga menandakan era baharu penganjuran Spartan di Malaysia hasil kerjasama SCORE Sports Management dan RUNRIO Thailand, yang turut merancang memperkenalkan Siri Serantau Malaysia–Thailand–Singapura pada 2026.

“Kehadiran lebih 3,000 peserta membuktikan komuniti Spartan semakin berkembang. Membawa Trifecta Weekend ke Selangor adalah pencapaian besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SCORE, Patricia Tan.

Selain Saddam dan Syahid, Spartan Malaysia 2025 turut menampilkan barisan duta tempatan seperti Jayakumar Tharmalingam, Muhamad Azhari Hassan, Shum Chiew Mun, Malcolm Wu Han, Amir Yazman Abdul Rahman serta beberapa lagi nama lain yang bakal memeriahkan acara tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN