SERAMAI 102 pelajar daripada 10 buah sekolah menengah di sekitar daerah Barat Daya di Pulau Pinang menerima manfaat daripada Program Tuisyen Pintar YPM@KKDW yang julung kali diadakan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan projek kerjasama strategik antara dua pihak iaitu Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dan Yayasan Pendidikan MARA (YPM).
Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Datuk Faisal Shahbudin berkata, inisiatif di bawah teras Sinar Ilmu itu merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam usaha memperkukuh akses pendidikan berkualiti kepada komuniti setempat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Pendidikan adalah kunci kemajuan negara dan senjata paling berharga untuk mengubah nasib seseorang itu dan melalui program ini, kami ingin memastikan bahawa pelajar mendapat bimbingan terbaik untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penutupan program tersebut di Dewan Seri Gemilang, MRSM Balik Pulau yang turut dihadiri oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Barat Daya, pengurusan MRSM, barisan guru serta pelajar terlibat.
Faisal berkata, Pulau Pinang sebagai hab ekonomi utama negara dalam industri semikonduktor, teknologi hijau, automotif elektrik, bioteknologi dan peralatan perubatan menawarkan peluang kerjaya luas yang memerlukan asas pendidikan kukuh.
“Jika asas pendidikan mereka kukuh, maka, tidak mustahil andai suatu hari nanti ada yang menjadi jurutera dan mencipta teknologi baharu, saintis yang menjumpai penawar penyakit atau usahawan yang membuka peluang pekerjaan,” katanya.
Jelas beliau, sepanjang program, pelajar dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman MRSM Balik Pulau dalam subjek teras SPM, sesi bimbingan peperiksaan dan motivasi diri.
“JKSB turut menaja sumbangan bernilai RM40,000 serta set alat tulis lengkap kepada semua peserta, YPM pula bertanggungjawab mengenal pasti pelajar dan sekolah yang layak manakala PPD
Barat Daya membantu penyelarasan di peringkat daerah,” katanya.
Sehubungan itu, Faisal berkata, pihaknya berharap kerjasama seperti itu dapat diperluas pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.
“Kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata. Ia memerlukan usaha gigih, keazaman tinggi dan kesungguhan berterusan. Jadi, jadikanlah ilmu sebagai bekalan hidup dan sumbanglah kepada masyarakat,” katanya. –UTUSAN