BALING: Seramai 52 orang pelajar diberi peluang mengikuti Program Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Profesor Ke Desa Inovasi Keusahawanan bagi menarik minat mereka mendalami pengetahuan menerusi pendekatan sains dan teknologi.
Ia merupakan inisiatif Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang terkenal dalam industri tenaga boleh baharu terutama solar.
Matlamatnya adalah untuk mengembangkan ilmu sains, teknologi dan kejuruteraan ke peringkat akar umbi iaitu di sekolah-sekolah terutamanya di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Dekan FKAB, Prof. Dr. Mohd Syuhaimi Ab. Rahman berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk mengembangkan sains dan teknologi ke seluruh negara disebabkan penurunan ketara pelajar yang mengambil aliran sains.
“Faktor itu menjadi sebab utama kami menggerakkan usaha ini bagi meningkatkan semula kefahaman mereka betapa negara perlukan saintis dan jurutera bagi kelangsungan ekonomi yang dijanakan melalui perindustrian.
“Pelajar perlu diberi kesedaran seawal mungkin, penting bantuan daripada segi moral kepada mereka untuk terus belajar serta berusaha lebih tekun bagi meneruskan alam persekolahan ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pada program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abu Bakar, Kupang, hari ini.
Mohd. Syuhaimi berkata, melalui program itu, kakitangan akademik bertaraf profesor akan ke sekolah-sekolah untuk memberi ceramah motivasi mengenai panduan menjadi pelajar cemerlang, pengurusan masa berkesan dan pendedahan kerjaya sebagai saintis dan jurutera.
Katanya, bilangan pelajar yang mengikuti aliran STEM di sekolah menengah tidak ramai dan siri penjelajahan itu memberi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan minat pelajar kepada sains serta teknologi.
Pada program itu Gading Kencana yang Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng adalah anak jati Kedah yang juga alumni FKAB UKM yang cemerlang dalam empayar peniagaan berasaskan teknologi solar telah menaja kit pembelajaran yang diberikan kepada para pelajar. – UTUSAN