QUEBEC: Juara empat kali Tour de France, Tadej Pogacar mengakui para pelumba berasa bimbang dengan kemungkinan gangguan protes menjelang Grand Prix Cycliste de Quebec dan Montreal hujung minggu ini.
Beberapa peringkat La Vuelta di Sepanyol sebelum ini terjejas akibat protes pro-Palestin yang menyasarkan pasukan Israel-Premier Tech.
Pogacar, yang membuat penampilan pertama sejak kemenangan bergaya di Tour de France Julai lalu, mengakui situasi itu menghantui fikiran pelumba.
“Saya rasa semua pelumba sedikit takut dengan apa yang boleh berlaku, kami berlari sepenuh tenaga dan ini satu masalah baharu yang boleh menimpa.
“Kami tidak bercakap mengenainya secara terbuka dalam peloton, tetapi sesama rakan sepasukan ya, terutama bila melihat apa yang berlaku di Vuelta,” kata Pogacar.
Pelumba Belgium, Wout van Aert turut meluahkan keresahan dan berharap perlumbaan di Kanada tidak dicemari isu luar trek.
“Pada ketika ini ramai pelumba risau tentang demonstrasi dan juga apa yang berlaku di dunia, saya harap kami dapat berlumba dengan baik dan menghiburkan semua,” kata Van Aert.
Grand Prix di Quebec yang bermula semalam dan Montreal Isnin ini dijangka menjadi medan uji kekuatan semula Pogacar menjelang penghujung musim. – AGENSI