Pintu kelab sentiasa terbuka untuk Kane - Frank

Pintu kelab sentiasa terbuka untuk Kane – Frank

HARRY KANE - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Tottenham, Thomas Frank mengalu-alukan kedatangan kapten England, Harry Kane untuk kembali ke pangkuan kelab lamanya itu jika dia meninggalkan Bayern Munich.

Akhbar Jerman, Bild melaporkan Kane mempunyai klausa pelepasan bernilai 56.7 juta pound (RM321 juta) yang akan diaktifkan pada penghujung musim ini.

Turut dilaporkan Tottenham mempunyai pilihan pembelian semula terhadap penyerang Bayern itu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin membuat kepulangan emosi kelab utara London itu.

Kane merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham dengan 280 gol dalam semua pertandingan sepanjang 14 tahun bersama kelab itu.

Dia menyertai Bayern pada 2023 dan telah menjaringkan 98 gol dalam 103 perlawanan bersama juara Bundesliga itu.

Apabila ditanya sama ada Frank berminat untuk mendapatkan semula Kane, bos Tottenham itu berkata: “Saya tak tahu pun ada klausa itu.

“Dia seorang pemain yang luar biasa, yang telah melakukan sesuatu yang hebat untuk Spurs dan kini sedang cemerlang bersama Bayern. Saya rasa ramai penyokong Tottenham, termasuk saya sendiri yang ingin melihat Kane kembali.

“Secara peribadi, saya rasa dia tidak akan lakukannya sekarang, terus terang. Dia mungkin akan kekal di Bayern dan terus bermain dengan cemerlang.

“Dia penjaring terbanyak musim lepas, menang kejuaraan dan kini pun sedang beraksi cemerlang. Saya tak tahu apa yang dia fikirkan.

“Saya sendiri seorang pengembara, saya suka mengembara, saya suka meneroka perkara baru juga. Dia dah berada di sini bertahun-tahun, jadi kenapa tidak nikmati masa di Bayern sedikit lagi?

“Tapi dia dialu-alukan. Kalau dia nak sertai kami, dia amat dialu-alukan!,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN