Perjalanan menjadi juara dunia tidak mudah - ibu Tang Jie

Perjalanan menjadi juara dunia tidak mudah – ibu Tang Jie

Grace Chen (dua dari kanan) menyambut kepulangan anaknya yang juga pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie (tiga dari kanan) dari Paris, Perancis bagi Kejohanan Badminton Dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjalanan Chen Tang Jie untuk bergelar juara dunia beregu campuran bukan laluan mudah, namun bagi ibunya, Grace Chen, dugaan itulah yang membentuk anaknya menjadi pemenang.

Tang Jie bersama Toh Ee Wei mencipta sejarah apabila muncul pasangan pertama Malaysia menjuarai beregu campuran di Kejohanan Dunia di Paris, Ahad lalu.

“Menjadi juara tidak pernah mudah, mesti ada halangan, barulah kita belajar mengatasinya.

“Kadang-kadang dia berkongsi perasaan dengan saya, tetapi saya selalu ingatkan dia bahawa sekarang dia sudah dewasa dan perlu belajar menguruskan cabaran sendiri,” kata Grace kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Grace mendedahkan sejak peringkat remaja lagi, keluarga tidak pernah memanjakan Tang Jie sebaliknya menjadikan rintangan sebagai ruang untuk menguatkan semangatnya.

Beliau pernah menangguhkan tawaran kemasukan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana bimbang anaknya belum bersedia untuk mengimbangi pelajaran dan badminton.

Malah apabila Tang Jie kehilangan rakan gandingan selepas Peck Yen Wei bersara, ibunya menekankan bahawa kegagalan hanyalah sebahagian daripada proses menuju kejayaan.

Bagi Grace, peranan keluarga bukan untuk melindungi, tetapi memberi motivasi, termasuk ketika anaknya berdepan kecaman di media sosial.

“Kita tidak boleh mengawal apa orang mahu kata, tetapi kita boleh kawal diri kita. Kalau hati tidak kuat, jangan baca, kalau baca, tentukan mana betul mana salah, kemudian teruskan hidup,” katanya.

Pada malam sejarah itu tercipta, Grace bersama ibunya di Seremban, Negeri Sembilan meraikan detik penuh emosi dengan tangisan gembira selepas bertahun-tahun melalui jerih payah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN