MADRID: Jonas Vingegaard disahkan menjuarai Vuelta a Espana 2025 selepas peringkat terakhir dibatalkan gara-gara protes besar-besaran di pusat bandar Madrid, awal pagi tadi.
Pelumba Visma-Lease a Bike itu sudah mengesahkan kemenangan selepas menguasai peringkat pendakian semalam yang memberinya kelebihan satu minit 16 saat (s) ke atas Joao Almeida dari Portugal.
Insiden berlaku ketika peloton baru memasuki Madrid dengan baki 60 kilometer (km) apabila perlumbaan terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.
“Demi keselamatan, peringkat 21 La Vuelta ditamatkan lebih awal dan tiada majlis podium.
“Perlumbaan ini telah pun berakhir secara rasmi dan Jonas Vingegaard adalah pemenang,” kata penganjur dalam kenyataan rasmi.
Kemenangan itu menjadikan Vingegaard pelumba Denmark pertama menjuarai Vuelta, sekali gus melengkapkan koleksi tiga gelaran Grand Tour selepas dua kali menakluk Tour de France pada 2022 dan 2023.
Ia juga mengimbau sejarah hitam apabila kali terakhir Grand Tour tidak menamatkan perlumbaan akibat demonstrasi politik adalah pada Vuelta 1978 di San Sebastian. – AGENSI