SELAYANG: PDRM FC akhirnya mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini, apabila menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.
Keputusan itu membolehkan The Cops melonjak ke tangga kelima Liga Super dengan mengutip enam mata hasil satu kemenangan dan tiga seri selepas lima perlawanan.
Pada aksi itu, tuan rumah bermula garang apabila mengasak benteng Kelantan TRW sebaik sahaja wisel ditiup pengadil perlawanan.
Usaha berterusan PDRM FC, akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-27 apabila Bernard Doumbia mudah menyempurnakan hantaran pendek Hadi Fayyadh untuk menampan bola ke gawang gol pelawat.
Penyerang kelahiran Ivory Coast itu, Doumbia sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-40 apabila berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid benteng pertahanan pelawat, sebelum meledak gol kedua peribadinya.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan TRW berjaya merapatkan kedudukan di penghujung babak pertama menerusi sepakan penalti Ifedayo Olusegun untuk kedudukan 2-1 sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, tuan rumah hanya memerlukan masa 10 minit untuk mendapatkan gol ketiga menerusi ledakan Mohamad Imran Samso yang merembat kencang ke penjuru kanan gawang pelawat.
Kemenangan itu, menyaksikan skuad kendalian Eddy Gapil meraih tiga mata pertama dalam kempen Liga Super selepas mengharungi lima perlawanan, dan lebih manis kejayaan itu berjaya dicatat di hadapan penyokong sendiri.-UTUSAN