Pakai tali pinggang keledar atau berdepan tindakan saman - JPJ

Pakai tali pinggang keledar atau berdepan tindakan saman – JPJ

Aedy Fadly Ramli pada sidang akhbar di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua pemandu dan penumpang kenderaan persendirian di negara ini diingatkan untuk mematuhi pemakaian tali pinggang keledar sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dalam masa terdekat

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan terus memperkukuh budaya keselamatan jalan raya menerusi program advokasi dan hebahan melalui pelbagai saluran.

“Kita telah mulakan tindakan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas ekspres dan bas persiaran melalui kempen ‘Klik Sebelum Gerak’.

“Kemudian baru kita akan maklumkan tarikh yang akan ditentukan untuk kita laksanakan tindakan penguatkuasaan bagi pemandu dan penumpang kenderaan persendirian yang tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya menerusi sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.

Terdahulu, Aedy melancarkan kempen ‘Klik Sebelum Gerak’ bermula hari ini berhubung kepentingan pemakaian tali pinggang keledar bagi semua pemandu dan penumpang kenderaan.

Jelas beliau, kempen itu menzahirkan komitmen JPJ untuk memastikan setiap perjalanan bermula dengan langkah keselamatan paling asas iaitu pemakaian tali pinggang keledar.

Ini kerana katanya, berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pemakaian tali pinggang keledar didapati berupaya mengurangkan risiko kematian penumpang kenderaan hingga 50 peratus sekiranya berlaku kemalangan.

“Di peringkat JPJ dan MOT, kita akan lihat dahulu keberkesanan kempen ini, kemudian baru kita akan tentukan sama ada penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan pantas atau pun tidak,” katanya.

Berdasarkan peruntukan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 (Pindaan 2019), individu yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikompaun tidak lebih RM300. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN