MELAKA: Gabriel Lazaro membuktikan bahawa usia itu sekadar angka selepas atlet berusia 50 tahun itu menjuarai acara triathlon jarak Olimpik pada Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025 di Encore Melaka, Klebang, semalam.
Atlet dari Sepanyol itu, yang juga eksekutif agensi insurans berpangkalan di Singapura menamatkan saingan renang 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan larian 10km dengan catatan 2 jam 22 minit 47 saat, meninggalkan peserta Selangor, Faiz Rahim (2:26:52) dan Goh Guan Xi (2:29:56).
“Ia perlumbaan pertama saya di Melaka dan saya lakukannya di depan isteri serta dua anak lelaki.
“Ia memang detik sangat bermakna,” kata Lazaro yang sudah 20 tahun terlibat dalam acara ini dan pernah menjuarai triathlon di Miami dan New York sewaktu bekerja di Amerika Syarikat.
Selepas ini, Lazaro bakal menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Marbella, Sepanyol pada 9 November ini, sebelum mengejar impiannya beraksi di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii tahun depan.
Sementara itu, Faiz, 30, yang berasal dari Gombak menyifatkan pencapaian kali ini sebagai pembakar semangat untuk dirinya terus mengukir nama secara profesional.

“Saya pernah tinggalkan triathlon selepas Covid-19 kerana rasa tidak mampu bersaing lagi. Tapi tahun ini saya kembali sebagai atlet sepenuh masa dengan bantuan penaja.
“Hasilnya, saya lebih cergas berbanding sebelum ini,” katanya yang mensasarkan penampilan di Ironman Langkawi, November nanti.
Bagi kategori wanita, Nami Kanai muncul juara dengan catatan 2:49:51, diikuti Adel Zulin Sim (3:13:38) kedua dan Norazian Manaf (3:23:33) meraih tempat ketiga.
Festival kali ini mencatat sejarah baharu apabila menghimpunkan atlet triathlon, duathlon dan aquathlon sekali gus buat kali pertama sejak penganjuran sulung pada 2018, dengan penyertaan lebih 1,000 atlet serta kira-kira 1,500 penyokong.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman berkata, kejayaan penganjuran itu secara tidak langsung mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Ramai penyertaan luar Melaka, malah antarabangsa. Ia membuktikan acara ini mendapat pengiktirafan dan kita berbangga dapat menganjurkannya di sini,” katanya yang turut melepaskan peserta pada festival itu.-UTUSAN










