Nor Saiful kenal pasti kelemahan pasukan remaja

Nor Saiful kenal pasti kelemahan pasukan remaja

NOR SAIFUL ZAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja di India masih lagi lemah dalam menerapkan corak permainan pantas.

Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasruddin selepas melihat pasukannya beraksi dalam Jelajah Australia bulan lalu.

“Kita bermain pasukan senior Western Australia dua kali dan sebelum itu kita menentang satu kelab senior yang mana kita menang 4-3. Aksi pertama menentang Western Australia kita kalah 1-0 dan perlawanan kedua kita kalah 4-0.

“Jadi, kita dapat tahulah bahawa ada kelemahan dan kelebihan pada pasukan remaja. Kelemahan ketara adalah mereka masih kurang pengalaman dengan cara permainan Australia.

“Sekarang kita sudah tahu macam mana nak jaga pemain, jangkauan lebih jauh, permainan lebih agresif, semua ini memberi pengalaman kepada pemain remaja negara. Bukan nak tengok keputusan permainan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Saiful turut berkata, beberapa siri perlawanan persahabatan telah diatur sebagai persiapan pasukan remaja kebangsaan untuk beraksi di Piala Dunia Remaja pada Disember ini.

“Kita akan adakan beberapa aksi persahabatan menentang pasukan yang mengambil bahagian di Piala Sultan Johor yang mana kita juga turut bertanding di kejohanan itu pada Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN