Newcastle bergelut tanpa Isak

Newcastle bergelut tanpa Isak

NEWCASTLE United terasa kehilangan Alexander Isak (kanan).- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOURNEMOUTH: Pengendali Newcastle, Eddie Howe mengakui pasukannya bergelut musim ini tanpa kelibat bekas penyerang berbisa mereka, Alexander Isak yang berhijrah ke Liverpool.

Perkara itu terbukti selepas anak buah Howe terikat 0-0 dengan Bournemouth kelmarin dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menyerlahkan ketumpulan jentera serangan.

Ia adalah keputusan seri tanpa jaringan ketiga berturut-turut di tempat lawan buat skuad kendalian Howe, dan pengendali itu menegaskan pemain lain perlu menggalas tanggungjawab mengisi kekosongan ditinggalkan Isak.

“Tiga perlawanan 0-0 di tempat lawan untuk kami, ia sesuatu yang jarang berlaku dengan gaya menyerang kami. Saya fikir secara semula jadi kami akan menjadi pasukan yang berbeza dari segi serangan musim ini tanpa Alex,” kata Howe.

Selepas Isak berhijrah dengan yuran perpindahan 125 juta pound (RM708.1 juta), Newcastle segera mendapatkan Yoane Wissa yang dijangka terlepas aksi selama sebulan akibat kecederaan serta Nick Woltemade, yang mengetuai jentera serangan di Stadium Vitality.

“Saya fikir Nick bermain dengan sangat baik hari ini (semalam). Dia sangat berkesan dengan kawalan bola yang bagus.

“Tetapi kami perlu lebih mengenali gaya permainannya serta dapatkan lebih banyak pemain membantu di sekelilingnya kerana dia sangat bagus dalam aspek itu.

“Saya berharap prestasi kami terus meningkat menjadi pasukan berbeza, mudah-mudahan lebih baik, tetapi ia mungkin mengambil sedikit masa,” kata Howe.

Dari sudut positif, Howe boleh berbangga dengan empat perlawanan tanpa bolos daripada lima perlawanan musim ini, sesuatu yang bukan mudah menentang Bournemouth yang sedang dalam prestasi terbaik, walaupun mereka hanya mencatat dua percubaan tepat berbanding satu untuk Newcastle.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN