Seorang murid Tahun Enam tidak menyangka akan bergelar ‘jutawan kecil’ apabila berjaya membawa pulang seekor anak lembu wagyu jantan bernilai RM10,000 selepas memenangi cabutan bertuah sempena Mini Maha Pahang 2025 di Dataran Temerloh, baru-baru ini.
Pemenang bertuah itu, Nabil Nazmi Osman, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka Batu 13, Maran, menerima hadiah utama berkenaan yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Nabil berkata, dia hanya datang bersama keluarga untuk menyaksikan pameran dan tidak pernah terlintas namanya akan diumumkan sebagai pemenang utama.
“Terkejut sangat bila nombor dipanggil. Apabila naik pentas dan nampak hadiah besar – seekor anak lembu wagyu – saya hanya mampu ucap Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurutnya, hadiah itu adalah pengalaman paling berharga dalam hidupnya dan dia mahu memastikan lembu wagyu berkenaan dip
elihara dengan baik.
“Insya-Allah lembu ini akan saya jaga. Kalau sudah matang nanti mungkin boleh dijual, hasilnya saya mahu guna untuk bantu keluarga dan kalau boleh nak buat kenduri kampung,” ujarnya.
Tambah Nabil, meski pun masih kecil, dia memahami nilai lembu wagyu yang mencecah RM 50, 000 apabila dewasa, justeru hadiah itu dianggap sebagai aset masa depannya.
“Memang saya rasa macam mimpi dapat hadiah ini. Selalunya orang lain yang bertuah, kali ini rezeki saya. Saya gembira sangat sebab hadiah ini bukan biasa-biasa, lembu wagyu yang orang tahu sangat mahal,” katanya.
Nabil juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menganjurkan Mini Maha Pahang yang bukan sahaja menyeronokkan untuk kanak-kanak, malah membuka peluang luar biasa kepada rakyat. “Ini kenangan yang saya akan ingat sampai bila-bila. Bukan senang murid sekolah dapat hadiah seekor lembu wagyu,” katanya.yang bercita-cita menjadi penternak berjaya seperti bapanya suatu hari nanti. – UTUSAN