MSN hantar kontinjen terkuat ke Sukan SEA Thailand

MSN hantar kontinjen terkuat ke Sukan SEA Thailand

KONTINJEN Malaysia ketika perarakan pembukaan Sukan SEA Kemboja 2023.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan tiada isu sekiranya persatuan memilih menurunkan juara dunia masing-masing di Sukan SEA Thailand 2025 kerana Malaysia mahu tampil dengan skuad terkuat.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata langkah itu juga sebahagian daripada persiapan lebih besar menjelang edisi 2027 apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya.

“Pada 2022 di Vietnam, kita menghantar 52 peratus atlet muda, Kemboja kali kedua dan ini penyertaan ketiga. Jadi memang mereka sudah mempunyai pengalaman dalam bertanding di peringkat Sukan SEA.

“Kita akan hantar yang terbaik. Kami cuma jadi yang terbaik kerana kami sedang dalam persediaan bagi edisi 2027,” kata Jefri kepada pemberita di MSN, Bukit Jalil semalam.

Menurut Jefri, mana-mana persatuan yang telah mendaftarkan atlet melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah pasti memilih barisan terbaik mereka untuk ke Bangkok.

Katanya, sukan seperti badminton dan boling yang mempunyai kejohanan dunia sebelum temasya tetap akan membawa pasukan utama kerana Sukan SEA turut dijadikan medan persiapan.

“Setiap persatuan yang mendaftarkan saya rasa mereka memberi laluan kepada atlet yang terbaik. Seperti sukan badminton, boling yang ada pertandingan Kejohanan Dunia 10 hari sebelum, juga mereka akan menghantar pasukan terkuat mereka ke Sukan SEA kali ini,” katanya.

Beliau optimis peluang Malaysia lebih cerah kali ini selepas edisi Kemboja 2023 tidak memihak kepada kontinjen negara apabila banyak acara tradisi tempatan dipertandingkan.

“Ketika di Kemboja sukan yang dipertandingkan adalah sukan tradisi. Kita tidak mempunyai kekuatan dan pengalaman. Jadi kali ini Thailand, Malaysia dan Singapura sudah membuat keputusan untuk mempertandingkan sukan-sukan Olimpik dan di peringkat Asia. 

“Contohnya macam skuasy, lawn bowls, boling telah dipertandingkan. Jadi kita harap ini akan memberikan peluang pada kita,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN