MPM beri penjelasan tuduhan 'scam', komited dengan integriti

MPM beri penjelasan tuduhan ‘scam’, komited dengan integriti

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. -IHSAN Paralympic Council Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menegaskan pihaknya kekal komited dengan tadbir urus berintegriti dan telah memberi penjelasan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan berkata, beliau sendiri berhubung secara terus dengan Azam bagi memberikan penjelasan lanjut.

Sempena Persidangan Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 Tahun 2025 18 September lalu, Azam turut menyentuh tentang keluhan seorang atlet Paralimpik mengenai insentif yang didakwa tidak dibayar menunjukkan ada kelemahan tatakelola yang perlu ditangani.

Pemenang dua pingat emas badminton Paralimpik, Cheah Liek Hou menerusi laporan sebelum ini didakwa menggelar MPM sebagai ‘scam’ dalam satu hantaran di media sosial berikutan kelewatan badan induk itu dalam membuat pembayaran ganjaran tunai sebanyak RM60,000 yang dijanjikan atas kejayaannya meraih pingat emas di Paralimpik Paris tahun lalu.

“Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik nasihat yang diberikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM terbabit. Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman juga sudah berhubung secara langsung dengan beliau bagi memberikan penjelasan lanjut isu ini.

“Presiden MPM turut menegaskan bahawa MPM akan terus berpegang teguh kepada Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani bersama 23 Persatuan Sukan Para Kebangsaan pada 25 November 2021,” kata kenyataan itu.

MPM juga menegaskan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) berjalan lancar.

“Sejak tahun 2019, MPM bekerjasama dengan pelbagai penaja bagi menambah baik ganjaran dan insentif untuk atlet yang bertanding serta memenangi pingat di peringkat antarabangsa.

“MPM menghormati hasrat dan hak semua penaja, sama ada penaja utama, penaja kecil, penaja berbentuk kewangan atau ‘in-kind’, termasuk penaja yang memberi sumbangan buat kali pertama dan memastikan semua sumbangan diurus secara telus, profesional dan berhemah.

“Semua obligasi kontrak diuruskan secara teratur dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Dalam proses mengumpulkan penajaan atau ganjaran, ada kalanya berlaku perkara di luar jangka seperti penarikan penajaan.

“Dalam keadaan sebegini, MPM akan memaklumkan sebarang perubahan kepada semua pihak berkepentingan dengan penuh ketelusan dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka,” jelas Megat D Shahriman.

MPM turut menasihatkan atlet para menggunakan saluran rasmi untuk menyuarakan pandangan atau aduan selain menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan penggantungan dikenakan setakat ini.

“MPM mempunyai prosedur bertulis bagi siasatan dalaman, dan sebarang tindakan hanya boleh diambil selepas siasatan dalaman selesai dijalankan (jika perlu).

“Oleh itu, pada masa ini tiada sebarang penggantungan dikenakan. MPM akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada atlet terbabit berhubung penggunaan perkataan ‘scam’ melalui persatuan sukan kebangsaan atlet berkenaan,” katanya.

MPM juga mengucapkan terima kasih kepada KBS kerana berkongsi template penajaan Road To Gold (RTG), yang kini akan dijadikan salah satu rujukan tambahan kepada template sedia ada.

“Pada 20 September 2025, YB (Yang Berhormat) Menteri KBS (Hannah Yeoh) menghubungi Presiden MPM untuk membincangkan isu ini dan beberapa ketetapan dicapai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN