SAN FRANCISCO: Pemain golf No. 1 dunia, Scottie Scheffler sedang mengintai gelaran keenam musim ini apabila dia bakal menyertai Kejohanan Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS), dengan Piala Ryder turut berada dalam senarainya.
Scheffler merupakan antara 10 pemain Piala Ryder AS yang bertanding minggu ini di Napa, California, di mana kejohanan itu dijadikan medan untuk pemain meningkatkan status mereka bagi Jelajah PGA musim hadapan.
Kapten Piala Ryder AS, Keegan Bradley menggunakan minggu ini untuk mencipta keserasian pasukan menjelang pertemuan menentang pasukan Eropah hujung bulan ini.
“Saya hadir dan bersedia untuk bermain minggu ini. Saya tidak datang ke Napa untuk bercakap tentang Piala Ryder selama empat hari. Saya datang untuk bermain dalam kejohanan golf,” kata Scheffler.
Scheffler turut berkata, ketika menyasarkan kejohanan yang akan disertainya pada awal tahun ini, dia sememangnya berhasrat untuk kekal berada dalam keadaan kompetitif menjelang Piala Ryder.
“Adalah sesuatu yang luar biasa bagi saya untuk berehat selama empat atau lima minggu sebelum Masters atau Terbuka AS atau kejohanan utama lain, jadi tiada sebab saya perlu berbuat demikian menjelang Piala Ryder.
“Saya sentiasa fokus kepada persiapan saya, itu paling penting bagi saya. Jadi untuk kekal tajam, anda boleh berlatih sebanyak mana pun di rumah tetapi ia tetap berbeza dengan bermain dalam pertandingan sebenar, bersedia untuk kejohanan dan saya rasa ini adalah persiapan yang baik,” katanya. – AFP