MELAKA : Wakil Brunei, DPMM berjaya melakar kemenangan pertama di Liga Super apabila menewaskan Melaka FC 1-0 menerusi jaringan sepakan penalti di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Tuan rumah sepatutnya mampu memenangi perlawanan tersebut apabila memperolehi dua sepakan penalti pada separuh masa pertama dan kedua.
Namun kecekapan penjaga gol DPMM, Muhammad Haimie Abdullah Nyaring menepis sepakan Abdul Aziz Rahim pada minit ke-25 dan Danilo Augusto Da Silva pada minit ke-65 menghampakan Melaka FC untuk memahat kemenangan pertama.
Buat Melaka kekalahan kepada pasukan terbawah Liga Super itu meneruskan episod malang tanpa kemenangan selepas tunduk 0-4 kepada Terengganu sebelum ini.
Setakat ini anak didik jurulatih K. Devan sekadar meraih tiga mata hasil tiga keputusan seri dan dua kekalahan termasuk tunduk kepada DPMM.
Aksi bermula agak lembab dipamerkan kedua-dua pasukan kerana bermain secara berhati-hati.
Pada minit ke-25 tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati pertahanan DPMM mengkasari Muhamad Aiman Danish di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun sepakan penyerang Melaka FC, Abdul Aziz Rahim berjaya ditampan keluar penjaga gol pelawat, Muhammad Haimie Abdullah.
Pada minit ke-36 DPMM pula dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zam Azwan Khan selepas melihat bola terkena tangan Muhammad Irfan Zakaria di kawasan kotak penalti tuan rumah.
Penyerang import pelawat, Jordan David Murray tidak menghadapi masalah menyepak masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Haziq Aiman untuk mendahului 1-0 ke atas Melaka FC.
Tuan rumah hampa lagi apabila sepakan penalti kedua yang diperolehi pada minit ke-65 diambil Danilo Augusto Da Silva berjaya diselamatkan Muhammad Haimie Abdullah.
Pengadil menghadiahkan sepakan penalti kedua buat Melaka FC berdasarkan semakan VAR mendapati Olivera menjatuhkan Mohamad Afeeq Iqmal Rosli di kawasan kotak penalti.
Pada minit ke-82, pelawat bermain dengan 10 pemain apabila pemain import mereka, Jordan de Paula Rodrgues dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari pemain tuan rumah.
Seminit sebelum tamat babak perlawanan seorang lagi pemain DPMM, Olivera dilayangkan kad merah.-UTUSAN