DUBLIN: Rory McIlroy menamatkan kemarau sembilan tahun apabila muncul juara Terbuka Ireland buat kali kedua selepas menewaskan Joakim Lagergren dalam aksi play-off mendebarkan hari ini.
Bintang Ireland Utara itu terlebih dahulu terpaksa melakukan eagle di lubang ke-72 bagi mengheret aksi ke play-off selepas Lagergren turut mencatat eagle dramatik di lubang ke-16.
Selepas dua lubang tambahan berakhir dengan birdie, pemain Sweden itu akhirnya tersilap langkah apabila bola jatuh ke dalam air, membolehkan McIlroy menutup saingan dengan dua putt.
“Kemenangan di kejohanan kebangsaan selepas kejayaan di Masters menjadikan 2025 tahun yang cukup istimewa, malah mungkin terbaik dalam karier saya.
“Tetapi perjuangan belum selesai kerana saya masih ada minggu penting di Wentworth dan pastinya semua menantikan aksi Piala Ryder di Bethpage Black,” kata McIlroy.
McIlroy sebelum ini turut menjuarai kejohanan sama di The K Club pada 2016, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai wira tempatan.
Sementara itu, Lagergren yang memburu gelaran Eropah pertamanya sejak Terbuka Itali 2018 mengakui kecewa selepas usaha hebatnya dengan catatan 66 pukulan tidak cukup untuk meraih trofi.
“Ini memang pahit untuk ditelan kerana saya benar-benar yakin mampu menang, namun nasib tidak menyebelahi saya di lubang terakhir play-off,” kata Lagergren. – AGENSI