KEPUTUSAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dan ia seolah-olah mencabar maruah negara.
Hukuman penggantungan pemain dan denda akibat dakwaan penggunaan dokumen palsu telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, malah bagi sesetengah pihak, keputusan ini dianggap tamparan terhadap maruah negara.
Namun begitu, sebelum kita terjebak dalam emosi, ada baiknya kita kembali kepada asas melibatkan soal fakta, proses dan integriti dokumen negara.
Ketelusan Kerajaan Malaysia
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa semua urusan kewarganegaraan dilaksanakan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tiada ruang untuk pemalsuan dalam prosedur rasmi negara.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula mengambil sikap matang dengan menekankan bahawa FAM mesti diberikan ruang sepenuhnya untuk mengemukakan rayuan.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang dekat dengan denyut bola sepak tanah air, menegaskan bahawa dokumen yang digunakan oleh pemain warisan adalah dokumen yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Apa yang pasti, ketiga-tiga suara melalui KDN dan KBS, serta institusi diraja Johor membentuk naratif yang konsisten, membuktikan Malaysia tidak akan sama sekali terlibat dalam pemalsuan dokumen sebagai dasar atau amalan rasmi.
FIFA keliru atau terburu-buru?
Persoalannya, jika benar dokumen itu bermasalah, mengapa pada awalnya FIFA sendiri meluluskan pendaftaran tujuh pemain ini dan membenarkan mereka turun mewakili Malaysia di pentas antarabangsa? Keputusan terdahulu yang mengesahkan kelayakan pemain ini tidak boleh dipadam begitu sahaja.
FIFA tidak boleh bertindak seolah-olah mereka terlepas pandang pada permulaan kemudian menunding jari kepada Malaysia semata-mata.
Jika benar FIFA mahu menegakkan integriti bola sepak, mereka sepatutnya membuka ruang dialog dan verifikasi bersama pihak berkuasa tempatan bukannya menghukum dahulu dan menyemak kemudian, ia tindakan yang tidak adil.
Keputusan terburu-buru ini menimbulkan persoalan besar, adakah FIFA menendang bola berdasarkan fakta atau sekadar ikut arah tiupan angin?
FIFA juga wajib cerminkan diri sendiri, jangan sampai standard badan induk bola sepak dunia itu kabur menzalimi sebuah negara.
FAM perlu usaha selamatkan maruah negara
Inilah tugas utama FAM sekarang iaitu menyediakan fail rayuan yang lengkap, teratur dan meyakinkan.
Segala salinan asal dokumen daripada JPN, rekod rantaian dokumen, serta laporan secukupnya perlu dikemukakan, seperti mana yang telah diberikan semasa membuat permohonan sebelum ini dan mendapat kelulusan FIFA.
Perkara ini mungkin tampak teknikal tetapi inilah bahasa yang difahami oleh FIFA dan Tribunal Timbang Tara Sukan (CAS).
Dengan dokumen yang kukuh, barulah Malaysia dapat menuntut semakan semula keputusan.
Krisis ini juga membuka ruang untuk memperkukuh sistem dan SOP baharu termasuk pengesahan digital antara JPN, KDN dan FAM wajar dibangunkan supaya setiap pendaftaran pemain diperakui secara automatik.
Langkah ini bukan sahaja menutup ruang salah faham, malah menjadikan Malaysia contoh tadbir urus sukan yang moden dan telus.
Kesimpulannya, hukuman FIFA terhadap FAM bukan sekadar isu bola sepak tetapi menyentuh soal maruah negara dan kepercayaan dunia terhadap sistem kita.
Jika tuduhan pemalsuan tidak berasas, hukuman mesti ditarik balik. Bola keadilan kini berada di kaki FIFA sama ada mereka mahu bermain dengan integriti atau terus menghukum dengan mata yang berat sebelah.
Malaysia akan mempertahankan maruahnya bukan dengan retorik kosong tetapi dengan bukti, prosedur dan integriti. Itulah kekuatan sebenar sebuah negara berdaulat.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia harus bersatu dengan nada yang sama dalam memberi sokongan sepenuhnya di belakang Harimau Malaya.-UTUSAN