PETALING JAYA: Bekas Olahragawati Negara, Datuk Marina Chin tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa penerima Anugerah Sukan Negara (ASN) pada era beliau tidak menerima ganjaran kewangan seperti dijanjikan.
Menurut Marina, ketika beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Negara pada tahun 1976 dan 1977, dasar ketika itu menetapkan bahawa atlet amatur tidak dibenarkan menerima wang ganjaran secara langsung.
Langkah tersebut dibuat bagi mengelak status mereka bertukar menjadi atlet profesional sekali gus menjejaskan kelayakan menyertai temasya bertaraf amatur.
“Sehubungan itu, peruntukan kewangan disalurkan terus kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) masing-masing untuk tujuan pembangunan bakat, program latihan dan penyertaan pertandingan,” katanya dalam kenyataan.
Marina menjelaskan, perkara tersebut difahami sepenuhnya oleh semua atlet ketika itu dan tidak pernah dipersoalkan.
Beliau menambah, sebarang isu berkaitan pembayaran atau perubahan dasar selepas itu hanya boleh disahkan melalui rekod rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan sukan yang terbabit.
Dalam masa sama, Marina menegaskan isu berkenaan bukanlah masalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada masa kini kerana ia membabitkan dasar dan amalan lampau.
Sebagai langkah ke hadapan, beliau mencadangkan MSN bersama NSA mengeluarkan kronologi rasmi mengenai kaedah penyaluran wang ganjaran sejak penganjuran Anugerah Sukan Negara bermula, termasuk tarikh perubahan dasar kepada pemberian terus kepada atlet.
“Jika hasil semakan mendapati terdapat kekurangan atau tuntutan yang sah, langkah pembetulan wajar diambil secara terhormat.
“Saya percaya dengan ketelusan, jasa legenda sukan negara bukan sahaja dapat dihormati tetapi warisan sukan juga dapat dipulihkan serta terus dihargai generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN