LANGKAWI: Pelumba Itali, Matteo Malucelli membuktikan statusnya sebagai pakar pecut apabila menghadiahkan kemenangan sulung buat XDS Astana dalam peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang membuka tirai di Pulau Langkawi, sebentar tadi.
Malucelli, 31, menampilkan kayuhan kemas untuk menamatkan saingan sejauh 96.7 kilometer(KM) itu dengan catatan masa 2 jam 22 saat sekali gus menyarung dua jersi utama iaitu jersi hijau (pendahulu keseluruhan) dan jersi oren (raja pecut).
Podium turut menyaksikan dominasi jaguh Eropah apabila pelumba Uno-X Mobility, Erlend Blikra berada di tempat kedua, manakala Arvid De Kleijn melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Malaysia turut tidak ketinggalan apabila pelumba berpengalaman Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Saleh berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik selepas menamatkan saingan di kedudukan kesembilan.
Saingan edisi ke-29 ini bakal menjadi lebih mencabar esok apabila peringkat kedua sejauh 166.1km dari Padang Besar ke Kepala Batas menampilkan tiga zon pecutan, sebelum kayuhan getir menanti di peringkat ketiga dari Gerik ke Pasir Puteh yang melibatkan tiga zon pendakian. – UTUSAN