LANGKAWI: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sekali lagi mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila beberapa pelumba elit dunia memilih edisi ke-29 ini sebagai medan memburu kejayaan dan selain simbol penting dalam karier mereka.
Antara yang menjadi tumpuan pelumba berprofil tinggi dari Norway, Alexander Kristoff (Uno-X Mobility), memilih Malaysia sebagai gelanggang terakhir kariernya.
“Ini kali pertama saya di sini, mungkin juga kali terakhir saya berlumba. Saya hanya perlukan dua kemenangan lagi untuk melengkapkan 100 kemenangan profesional.
“LTdL jelas mesra pelumba pecut, saya datang untuk mencuba,” katanya yang pernah menjuarai Milan–San Remo dan Flanders.
Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli, yang mengakui LTdL pernah mengubah nasibnya dalam dunia berbasikal profesional.
“Setahun lalu saya datang tanpa kontrak, tiada masa depan. Selepas menang peringkat di LTdL, saya raih 10 kemenangan musim itu dan akhirnya disambar pasukan WorldTeam.
“Tahun ini saya kembali dengan skuad lebih kuat, misi tetap sama iaitu memburu kemenangan peringkat,” ujar penyandang Jersi Jingga, Raja Pecut edisi lalu.
Turut mencuri perhatian ialah pelumba Belanda, Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling), yang kembali selepas kecederaan serius patah tulang selangka di Tour UAE.
“Saya berehat panjang hampir tiga bulan, tetapi kini kembali pada tahap terbaik. LTdL sangat istimewa, saya gembira diberi peluang bersaing semula,” ujarnya yang digelar ‘Little Gorilla’.
Pelumba Sepanyol, Mario Aparicio Munoz pula tidak mahu sekadar mempertahankan gelaran Raja Bukit, sebaliknya bertekad memburu kejuaraan keseluruhan.
“Tahun lalu saya kuasai jersi bukit. Kali ini saya mahu cabar untuk kedudukan keseluruhan,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, pelumba veteran Jepun, Yukiya Arashiro, yang memulakan karier profesionalnya di LTdL 2007, menganggap perlumbaan ini sebagai ‘Grand Tour Asia’.
“Malaysia sentiasa dekat di hati saya. LTdL adalah simbol penting dunia berbasikal rantau ini. Saya masih ingat ketika hadir 18 tahun lalu bersama pasukan benua, kini saya kembali bersama skuad Eropah,” katanya.
LTdL 2025 akan berlangsung bermula esok hingga 5 Oktober, meliputi 1,244.7 kilometer dalam lapan peringkat, bermula di Langkawi sebelum berakhir di ibu negara, Kuala Lumpur. – UTUSAN