Jun Hao gagal kekang Shi Feng

Jun Hao gagal kekang Shi Feng

Leong Jun Hao tewas kepada pemain China, Li Shi Feng 20-22, 21-14, 22-20 pada aksi suku akhir Terbuka Hong Kong hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao untuk mara lebih jauh di Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong tidak kesampaian apabila langkahnya tersekat di peringkat suku akhir selepas tunduk kepada wakil No. 4 dunia, Li Shi Feng, hari ini.

Berlangsung di Hong Kong Coliseum, Jun Hao tidak menyerah mudah, sebaliknya memberi tentangan sengit hingga memaksa bintang China itu bekerja keras untuk mengesahkan kemenangan.

Set pembukaan berlangsung mendebarkan apabila pemain negara itu tewas tipis 20-22, sebelum bangkit memperkemaskan aksi dengan pukulan lebih agresif sehingga menundukkan lawan 21-14 pada set kedua.

Segalanya ditentukan dalam set penentuan yang penuh dramatik, namun dua kesilapan di mata terakhir memberi ruang kepada Shi Feng untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 22-20 dalam masa 78 minit.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pilihan kedua kejohanan tersebut mengekalkan rekod cemerlang ke atas Jun Hao dengan enam kemenangan daripada tujuh pertemuan sebelum ini.

Shi Feng kini bakal berentap dengan bintang Perancis, Christo Popov, esok bagi merebut tiket ke pentas final.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu campuran turut berakhir apabila pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tumpas mudah kepada gandingan No. 2 dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 16-21, 10-21.

Perlawanan yang hanya mengambil masa 33 minit itu jelas memperlihatkan dominasi beregu China, sekali gus menutup kemaraan Malaysia di gelanggang beregu campuran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN