Irfan Bakti kecewa Kelantan Red Warriors FC gagal cari gol

Irfan Bakti kecewa Kelantan Red Warriors FC gagal cari gol

KAPTEN Kelantan Red Warriors FC, Otis Khan cuba melepasi kawalan pemain Seoul Phoenix FC pada perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.-IHSAN FB KELANTAN RED WARRIOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengendali Kelantan Red Warriors FC (KRW), Irfan Bakti Abu Salim mengakui kecewa selepas pasukannya selepas terikat tanpa jaringan menentang Seoul Phoenix FC pada perlawanan Liga A1 Semi Pro di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Irfan Bakti berkata, walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun jentera serangan gagal menterjemahkan peluang terhidang itu ke dalam bentuk jaringan.

“Episod yang kita tengok pada perlawanan pertama menentang UM-Damansara United berulang lagi. Kita menguasai perlawanan dan mencipta peluang demi peluang tetapi penyudahnya tidak ada.

“Saya harap pemain import, Ismael Dungan boleh menguasai bola tadi. Namun, dia belum mencapai tahap kecergasan sebenar serta masih perlu diberikan ruang dan peluang,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Irfan Bakti memberitahu, selepas ini dia akan memberi tumpuan kepada mempertajamkan penyudah setelah menyaksikan KRW gagal memanfaatkan tiga pelung terbaik dalam perlawanan tersebut.

“Pemain perlu lebih tenang ketika membuat percubaan dan itu antara perkara utama untuk kita baiki.

“Selepas ini kita berdepan perjalanan mencabar apabila terpaksa beraksi di luar bagi tiga perlawanan berturut-turut menentang Kedah FA, Johor Darul Taazim II (JDT II) dan Perak FC,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Seoul Phoenix, Sangjin Lee menyifatkan kejayaan mengikat KRW tanpa jaringan menambah keyakinan mereka untuk menentang Majung City FC pada 13 September.

Katanya, dia turut gembira apabila barisan pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan cuaca serta senario bola sepak Malaysia walaupun sangat kurang berpengalaman melalui perlawanan dalam cuaca hujan lebat seperti di separuh masa kedua malam tadi.

“Kami sudah merasai suasana bermain pada sebelah petang dan malam dalam saingan liga ini dan saya boleh katakan, kami lebih suka bermain pada sebelah malam dalam keadaan cuaca lebih nyaman berbanding keadaan panas terik pada sebelah petang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN