MANCHESTER: Pep Guardiola percaya Erling Haaland boleh menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Liga Juara-Juara selepas mencapai 50 gol ketika kemenangan 2-0 Manchester City ke atas Napoli yang bermain dengan 10 orang, semalam.
Haaland meledak jaringan ke-50 dalam pertandingan elit Eropah itu hanya dalam 49 penampilan sebelum Jeremy Doku memastikan permulaan sempurna City dalam kempen Liga Juara-Juara.
“Statistik bercakap untuk dirinya sendiri dan betapa bertuahnya kami mempunyai dia,” kata bos City, Guardiola.
Haaland kini berada di tangga ke-12 dalam carta penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Juara-Juara dan masih belum sampai separuh perjalanan untuk menyamai rekod Cristiano Ronaldo sebanyak 141 gol.
Namun Guardiola percaya pemain berusia 25 tahun itu mempunyai masa yang cukup untuk mencapai sasaran tersebut.
“Bersama dua ‘raksasa’ bola sepak 15 ke 20 tahun lalu, Ronaldo dan (Lionel) Messi, Erling berada dalam kalangan mereka. Dari segi jaringan, dia luar biasa.
“Jika dia kekal dengan rentak ini dan bermain selama 10 hingga 12 tahun lagi dan mengekalkan kemajuan ini, sudah tentu dia boleh pecahkan rekod itu,” katanya. – AFP










