Galak anak jadi jururawat

Galak anak jadi jururawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendidikan merupakan teras utama dalam pembangunan sesebuah bangsa dan negara. Ia berfungsi bukan sekadar sebagai instrumen penyampaian ilmu, malah sebagai pemangkin kemajuan sosial, ekonomi dan tamadun.

Kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan khususnya jawatan jururawat bukan lagi rahsia di negara ini. Isu ini sudah lama dibincangkan namun sehingga kini pelbagai data menunjukkan negara masih berhadapan dengan cabaran getir untuk menangani masalah kekurangan jururawat tersebut.

Menurut Petunjuk Kesihatan 2024, Malaysia mempunyai 118,309 jururawat berdaftar, dengan 66 peratus bertugas di sektor awam manakala selebihnya di sektor swasta. Pada masa sama, nisbah jururawat kepada penduduk terus merosot daripada 1:279 pada tahun 2022 kepada 1:282 pada 2024.

Dilaporkan juga dalam tempoh empat tahun lalu, kekosongan jawatan jururawat di fasiliti kesihatan awam juga meningkat secara mendadak, daripada 2,106 kekosongan pada 2020 kepada 6,787 setakat Mac 2024. Ironinya tatkala ramai yang bercakap tentang kekurangan peluang pekerjaan pada ketika ini, lain pula berlaku dalam sektor ini apabila kita berhadapan dengan situasi ada kekosongan jawatan tetapi tidak ramai yang berminat.

Lebih membimbangkan apabila unjuran pihak berkuasa menunjukkan negara berisiko mengalami kekurangan hampir 60 peratus jururawat menjelang tahun 2030 jika isu ini tidak ditangani dengan segera secara strategik.

Pelbagai faktor telah dikenalpasti menyumbang kepada masalah kekurangan jururawat di sektor awam, antaranya daya tarikan yang hebat dari segi gaji dan pelbagai faedah lain di sektor swasta dan negara luar. Misalnya Singapura, Arab Saudi dan Qatar dilaporkan menawarkan gaji dan pelbagai faedah hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan di negara kita.

Selain daripada itu tahap tekanan dan beban tugas yang tinggi serta tanggapan bahawa ia kerja yang susah dan kotor turut mempengaruhi sikap anak muda yang tidak mahu sertai bidang ini.

Jika benar ramai lepasan sekolah tidak mahu pilih jururawat sebagai kerjaya dan beranggapan kerja ini susah, kotor dan tidak dihargai, maka ini adalah satu keadaan yang cukup merisaukan dan perlu dipandang serius oleh semua pihak. Pihak ibu bapa dan sekolah wajar membantu dalam hal ini.

Dalam konteks gaji dan faedah misalnya sudah tiba masanya kita mengkaji secara menyeluruh struktur gaji yang sedia ada agar disuai padankan dengan beban tugas para jururawat. Mungkin pada ketika ini kita tidak mampu tandingi apa yang ditawarkan oleh negara luar, namun inisiatif dan iltizam ke arah penambahbaikan itu perlu bermula dari sekarang.

Untuk itu disyorkan ditubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji laluan kerjaya jururawat secara menyeluruh khususnya dari segi kadar gaji, elaun dan prospek kenaikan pangkat yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Yang Dipertua Pibg, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN