Bung Moktar nafi guna pengaruh lulus komisen isteri

Bung Moktar nafi guna pengaruh lulus komisen isteri

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan menggunakan pengaruh serta jawatannya untuk meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta bagi membolehkan isterinya, Zizie Izette menerima wang komisen RM2.8 juta.

Ketika pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Sesyen hari ini, Bung Moktar, 65, yang juga saksi pembelaan pertama juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa kelulusan itu dibuat bagi memastikan mereka memperoleh wang komisen tersebut.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry, Bung Moktar menyifatkan pihak pendakwaan mempunyai sangkaan jahat terhadap dirinya.

Pendakwaan: Setuju saya katakan kepada Datuk Seri bahawa Datuk Seri telah menggunakan pengaruh dan jawatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad bagi memastikan perkara ini berjaya dilakukan supaya wang berjumlah RM2.8 juta itu diterima oleh isteri Datuk Seri dan Datuk Seri.
Bung Moktar: Tidak benar, tidak setuju.

Mohamad Fadhly: Setuju bahawa Datuk Seri memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaburan yang melibatkan amaun RM150 juta daripada Felcra Berhad ke Public Mutual.

Bung Moktar: Tidak betul, itu sangkaan jahat.

Mohamad Fadhly: Setuju saya cadangkan kepada Datuk Seri bahawa segala soalan dan jawapan menunjukkan dengan jelas bahawa Datuk Seri tahu dan ada pengetahuan ada habuan (RM2.8 juta) jika perkara ini berjaya?
Bung Moktar: Tidak betul, itu sangkaan jahat.

Bagaimanapun, Bung Moktar menolak cadangan pihak pendakwaan yang mendakwa segala tindakannya adalah di luar skop sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu.

Perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad bersambung 24 September ini.

Semalam, Bung Moktar berkata, beliau terperanjat setelah mengetahui tindakan isterinya menerima wang berjumlah RM2.8 juta ketika siasatan SPRM.

Ketika pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Bung Moktar berkata beliau benar-benar tidak tahu dan menolak dakwaan beliau ‘kononnya’ tidak tahu.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta kerana memperkenalkan suaminya untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima wang tersebut daripada Madhi menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh suapan tunai RM337,500 daripada Norhaili melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015.

Zizie Izette turut berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di lokasi, tarikh dan masa yang serupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN