MELAKA: Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing meluahkan hasrat untuk belajar menyanyi lagu Melayu daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Bingbing berkata, dia kagum dengan kelunakan dan kekuatan vokal penyanyi nombor satu negara itu selepas bertemu pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kelmarin.
“Saya rasa seronok dan berasakan ada aura luar biasa ketika menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza baru-baru ini. Aura pentas beliau sangat kuat kerana mampu membuat persembahan penutup dengan penuh gemilang.
“Saya berasa sangat bertuah dapat bertemu dengannya dan jika diberikan kesempatan saya mahu belajar menyanyi lagu Melayu dengan beliau,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini, semalam.
Bingbing berkata, dia teruja apabila berkesempatan memberikan produk kecantikan jenamanya kepada Siti Nurhaliza sebagai tanda penghargaan.
Mengenai Majlis Pelancaran TMM 2026, Bingbing berkata, malam tersebut meninggalkan memori indah buatnya kerana berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan menarik.
Katanya, persembahan tarian, pertunjukan bunga api dan dron sangat hebat kerana berjaya menonjolkan identiti budaya tempatan.
“Saya berharap setiap pelawat pulang dengan memori indah mengenai budaya, makanan dan keramahan masyarakat negeri ini. Saya juga bersedia menjalin kerjasama bersama artis tempatan dan antarabangsa, di samping membantu mempromosikan Melaka ke peringkat global,” katanya. – UTUSAN