Atlet wushu terima 'durian runtuh'

Atlet wushu terima ‘durian runtuh’

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh(tengah) bersama skuad wushu negara yang memenangi lima emas, satu perak dan dua gangsa sekali gus menjadikan edisi kali ini paling cemerlang buat skuad negara ketika menyambut pulang di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kejayaan atlet wushu negara meraih lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Wushu Dunia 2025 di Brazil membolehkan mereka menerima durian runtuh berjumlah RM480,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu mengambil kira penganjuran kejohanan dunia wushu yang berlangsung setiap dua tahun sekali, berbeza dengan sukan lain seperti badminton yang dianjurkan setiap tahun.

“Bagi pingat emas, ganjarannya RM80,000; perak RM40,000 dan gangsa RM20,000 yang akan dikongsi sekiranya dimenangi secara berpasukan,” katanya ketika menyambut kepulangan wira negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Antara penerima utama ialah Si Shin Peng yang meraih dua emas dalam acara Qiangshu dan Jianshu serta satu gangsa berpasukan Duilian dengan jumlah ganjaran RM166,666.66.

Turut cemerlang, Tan Cheong Min yang membawa pulang RM146,666.66 hasil emas Nangun, emas berpasukan Duilian serta perak Nandao.

Sementara itu, Lee Jia Rong menerima RM126,666.66 selepas mengungguli emas Daoshu, emas berpasukan Duilian dan gangsa individu Gunshu.

Penerima lain ialah Pang Pui Yee (RM26,666.66), Bryan Ti Kai Jie (RM6,666.66) dan Clement Ting Su Wei (RM6,666.66).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN