KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir Terbuka Hong Kong selepas menumbangkan rakan senegara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri hari ini.
Pasangan ranking ke-20 dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk menamatkan saingan 21-17, 21-19, sekali gus mengulangi kemenangan ke atas lawan sama pada separuh akhir Terbuka Macau bulan lalu.
Lebih manis, Arif-Roy King yang muncul juara di Macau sebelum ini turut mencipta kejutan di pusingan pertama Hong Kong apabila menyingkirkan beregu No.4 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada Selasa.
Mereka dijangka berdepan cabaran lebih sengit di suku akhir menentang pemenang antara beregu No.9 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty atau gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul.
Aksi penuh bersemangat Arif-Roy King kini terus menjadi tumpuan peminat badminton tanah air yang menaruh harapan tinggi agar pasangan muda ini mampu mencipta satu lagi kejutan di Hong Kong. – UTUSAN