Kanak-kanak yang bersikap ganas seperti membuli, mendera dan mencederakan orang lain atau haiwan dengan sengaja berkemungkinan mengalami masalah emosi.
Dalam sesetengah kes, perbuatan mencederakan rakan atau haiwan secara sengaja adalah satu petanda mereka bermasalah tingkah laku, mengalami trauma ataupun kanak-kanak berkenaan sukar mengawal emosi.
Ada pendapat mengatakan berkemungkinan juga kanak-kanak tidak faham mengenai kesan dan akibat daripada tindakan mereka. Tambahan pula, mereka mudah dipengaruhi oleh persekitaran terdiri daripada rakan sebaya dan keluarga.
Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan Klinik Psikiatri Kanak-Kanak & Remaja, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan/ Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ruziana Masiran berkata, setiap tingkah laku kanak-kanak itu dibentuk oleh gabungan beberapa faktor.

“Pertama sekali, persekitaran keluarga. Kanak-kanak dibesarkan dengan disiplin yang tidak konsisten, diabaikan emosi atau fizikal ataupun yang terdedah kepada keganasan di rumah mungkin berasa keganasan itu suatu kebiasaan.
“Kedua, berada di sekeliling rakan sebaya yang terbabit dalam apa jua bentuk kekejaman ataupun permainan ganas boleh menyumbang ke arah keganasan kepada haiwan mahupun manusia,” katanya.
Sementara itu, faktor ketiga pula berkemungkinan pengaruh negatif daripada teknologi maklumat dalam bentuk media sosial, permainan, video atau filem berunsur ganas serta cerita-cerita animasi atau kartun.
Banyak kajian menunjukkan pendedahan berulang kali kepada media yang mengandungi unsur keganasan boleh menjadikan kanak-kanak kurang empati dengan penderitaan yang makhluk lain alami. Justeru, ibu bapa perlu lebih peka dengan apa yang ditonton anak termasuk kartun.
Masa depan kanak-kanak bersikap ganas
Masyarakat sering menganggap kanak-kanak yang bertindak ganas ini adalah seorang psikopat dan berpotensi malah mendakwa mereka boleh menjadi pembunuh bersiri jika tidak dirawat.
Bagaimanapun, Dr. Ruziana berkata, walaupun kekejaman berulang terhadap haiwan dianggap petanda amaran kemungkinan berlakunya keganasan pada masa hadapan, ia bukanlah satu kemestian kanak-kanak membesar dengan ciri-ciri individu ganas.
“Ramai kanak-kanak yang berbuat sedemikian tidak menjadi individu ganas apabila dewasa, terutamanya jika tingkah laku itu ditangani dari peringkat awal oleh ibu bapa yang mendidik mereka dengan sifat empati.
“Namun, jika kekejaman terhadap haiwan berlaku secara berterusan, disengajakan, dan disertai dengan beberapa tingkah laku negatif lain, ia perlu dipandang serius dan dianggap sebagai red flag atau amaran masalah mental,” katanya.
Dr. Ruziana juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak menganggap tingkah laku anak yang ganas hanya sebagai ‘satu fasa yang akan berlalu’ ataupun hanya memberi alasan, “alahai, merekakan masih budak-budak? ”
Sebaliknya, katanya, apabila perkara seperti ini terjadi, langkah pertama ibu bapa perlu lakukan adalah membincangkan isu itu bersama anak-anak dengan tenang bagi membolehkan anak-anak meluahkan emosinya.
Terangkan dan bantu anak memahami kesakitan dan penderitaan haiwan yang dicederakan. Ibu bapa juga perlu mempamerkan rasa belas kasihan terhadap haiwan dan manusia dalam interaksi harian. Lebih penting lagi, harus meningkatkan pengawasan dan tidak membiarkan anak-anak bersendirian dengan haiwan sehingga isu ini diselesaikan.
Kemudian, katanya, dapatkan bantuan profesional daripada pakar kesihatan mental yang terdiri daripada pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal mahupun kaunselor berdaftar untuk mengenalpasti masalah kesihatan mental anak.
Tingkat empati anak
Kanak-kanak yang menunjukkan sikap ganas juga memerlukan rawatan sewajarnya bagi mengesan punca dan merawat emosi mereka. Rawatan yang sesuai amat bergantung kepada jenis masalah atau penyakit yang telah dikenal pasti.
“Di antara rawatan sesuai termasuklah terapi kognitif-tingkah laku (cognitive-behaviour therapy), latihan kemahiran sosial dan empati untuk mengukuhkan kefahaman kanak-kanak tentang perasaan orang lain dan latihan keibubapaan (parenting skills training).
“Tidak dilupakan, terapi keluarga adalah komponen rawatan psikiatri yang amat penting. Sebagai pakar psikiatri yang mempraktikkan terapi keluarga di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM, saya melihat sendiri bagaimana terapi keluarga dapat membantu ibu bapa dan anak memahami punca tingkah laku, memperbaiki komunikasi dan mengukuhkan hubungan, sekali gus mengurangkan risiko masalah berulang,” katanya.
Sekiranya ibu bapa segera mendapatkan bantuan pakar, katanya, kanak-kanak boleh belajar cara yang lebih sihat untuk meluahkan perasaan dan berinteraksi dengan orang lain.
Namun begitu, katanya, proses pemulihan bergantung pada faktor termasuk kadar masalah tingkah laku, kesediaan kanak-kanak untuk berubah, sokongan keluarga dan konsistensi rawatan.
“Jika tiada rawatan dilakukan, mereka mungkin terus melakukan serta menunjukkan kekerasan atau kekejaman kepada manusia atau haiwan lain,” katanya.
Pepatah Melayu mengatakan – “Jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah”. Dr. Ruziana mengajak semua keluarga dan ibu bapa untuk mengajar anak mengenai empati sejak dari kecil khususnya dalam usia prasekolah lagi.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengalakkan anak memelihara haiwan peliharaan atau tumbuhan. Ibu bapa juga boleh menjadi contoh yang baik dengan menunjukkan bahawa mereka peka dengan perasaan anak-anak.
“Pasangan ibu bapa boleh menjadi contoh penyelesaian konflik secara berhemah di rumah. Luangkan masa berkualiti bersama untuk mengukuhkan ikatan emosi ibu bapa dan anak-anak.
“Mengenai kawalan media di rumah, ibu bapa hendaklah mengehadkan pendedahan kepada media berunsur keganasan dan jangan malu membincangkan bersama anak-anak mengenai unsur keganasan yang anak-anak mungkin pernah lihat sebelum ini,” katanya
Kesimpulannya, tingkah laku ganas seperti membuli, mencederakan haiwan atau orang lain, tidak boleh dianggap remeh atau satu fasa perkembangan semulajadi. Ia mungkin petunjuk awal kepada masalah emosi, trauma atau pengaruh persekitaran negatif. Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting membimbing anak-anak agar memahami nilai empati dan belas kasihan sejak usia muda. – UTUSAN










