KUALA LUMPUR: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mencatat sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Pelantikan pada Kongres UCI ke-194 di Kigali, Rwanda semalam menjadikannya rakyat Malaysia pertama menduduki jawatan tertinggi dalam badan induk dunia itu.
Selain Amarjit, turut dipilih bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa dari Itali, Katerina Nash dari Republik Czech dan José Manuel Pelaez dari Cuba.
Mengulas kejayaan itu, Amarjit menyifatkan pemilihan tersebut sebagai penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya malah buat Malaysia.
“Pemilihan ini adalah bukti kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan dalam komuniti berbasikal global, dan saya dedikasikan kejayaan ini demi melayani keluarga berbasikal dunia dengan penuh integriti, inklusiviti dan visi.
“Saya berkomitmen tinggi untuk bekerjasama dengan Presiden UCI, David Lappartient, dan rakan-rakan sejawatan bagi memastikan sukan berbasikal terus menginspirasi, menyatukan dan berkembang di setiap benua,” kata Amarjit dalam kenyataan hari ini.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) pernah berkhidmat dua penggal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak 2017.
Beliau turut mengikuti jejak ayahnya, Tan Sri Darshan Singh Gill yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI dari 1996 hingga 2005.
Dalam pada itu, Presiden UCI, David Lappartient menyifatkan pemilihan Amarjit sebagai cerminan suara Asia yang semakin berpengaruh dalam arena berbasikal global. – UTUSAN