PETALING JAYA: Bola sepak negara digegarkan apabila tujuh pemain warisan Harimau Malaya, termasuk Facundo Garces, digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta sekali gus memaksa Deportivo Alaves mengetepikan Garces menjelang aksi La Liga menentang RCD Mallorca, awal pagi ini.
Surat rasmi daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengesahkan pertahanan kelahiran Argentina itu tidak dibenarkan beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif.
Kenyataan Alaves menjelaskan bahawa mereka tetap mempertahankan Garces walaupun akur dengan keputusan FIFA.
“Pihak pengurusan menganggap pemain tidak bersalah dan percaya proses ini akan diselesaikan secepat mungkin,” kata kenyataan tersebut.
Selain Garces, enam lagi pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut dikenakan tindakan.
Kesemua mereka digantung selama 12 bulan dan didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) kerana terpalit dengan isu pemalsuan dokumen.
Garces sebelum ini menjadi tonggak utama Alaves di benteng pertahanan dan dianggap salah seorang pemain paling konsisten dalam La Liga musim ini. – UTUSAN