Koperasi Sekolah Menengah (SMK) Ghafar Baba Masjid Tanah Melaka Berhad muncul johan Program Asas Keusahawanan Koperasi (Aksi) 2025 Peringkat Negeri Melaka menerusi produk aiskrim Nangkool.
Guru pembimbing Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Siti Fariza Zaidan, 38, berkata, kejayaan itu melayakkan pasukannya mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan pada Oktober.
Katanya, projek aiskrim nangkool bermula Mac lalu dengan memanfaatkan 12 pokok nangka madu yang ditanam di dalam kawasan sekolah.
“Saya bersama pelajar dan warga sekolah lain memikirkan bagaimana untuk menghasilkan produk menggunakan sumber sedia ada. Maka kami putuskan untuk buat aiskrim menggunakan pati atau puri nangka sebagai bahan asas.
“Cabaran utama adalah untuk mendapatkan rasa dan tekstur yang sesuai dengan kehendak pelanggan.
Setelah banyak kali mencuba akhirnya Aiskrim Nangkool dengan tiga perisa iaitu asli, keju dan coklat berjaya dihasilkan,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar baru-baru ini.
Pasukan SMK Ghafar Baba yang diwakili Siti Fariza bersama empat pelajar tingkatan tiga iaitu Nur Aina Syafiqah Hassan, Nadhira Hamzah, Zahraa’ Muadli dan Ahmad Hafiy Danish Mohd. Zaidi berjaya menewaskan tujuh buah sekolah lain pada program dwitahunan itu. – UTUSAN










