PETALING JAYA: Aira Azman turut mengiringi bintang skuasy No. 7 dunia, S. Sivasangari ke pusingan kedua selepas kejutan besar dilakar pemain muda negara itu pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Klasik Qatar di Doha, Qatar, semalam.
Pemain yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-21, hari ini, mencipta kejutan ke atas jaguh No. 6 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun selepas dia bangkit daripada kekalahan dua set sebelum menang 6-11, 13-15, 11-5, 13-11, 11-8 dalam masa 54 minit.
Pada pusingan kedua, hari ini, Aira bakal menghitung pertemuan dengan pemain ke-28 dunia, Zeina Mickawy selepas wakil Mesir itu mengejutkan pemain Malaysia, Rachel Arnold yang menghuni ranking No. 19 dunia 11-6, 11-3, 11-3 di Kompleks Skuasy & Tenis Khalifa.
Aira yang menghuni ranking ke-26 dunia melahirkan rasa gembiranya berjaya bangkit daripada ketinggalan dan sekali gus menutup aksinya dengan kemenangan ke atas Watanabe.
“Dia seorang pemain handalan dan saya biasa menyaksikan dia beraksi. Saya terpaksa menyusun strategi saya semula selepas ketinggalan dan kembali kepada asas permainan saya,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Aira berkata, untuk perlawanan berikut dia akan berdepan Zeina, lawan yang pernah ditemuinya sebelum ini dan dia akan mengorak langkah demi langkah tanpa terlalu berfikir terlalu jauh.
Sivasangari pula tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain ke-48 dunia, Nadine Shahin dari Mesir 11-5, 11-7, 11-6 hanya dalam masa 20 minit.
Pada peringkat seterusnya, anak jati Sungai Petani, Kedah itu bakal berdepan pemain No. 11 dunia, Nele Gilis dari Belgium yang merupakan seteru lamanya.
Turut bermula dengan langkah kanan ialah kakak Aira, Aifa yang menewaskan wakil Hong Kong, Tomato Ho 11-9, 5-11, 11-9, 11-8 dalam masa 47 minit.
Aifa yang menghuni ranking ke-40 dunia itu akan turun beraksi menentang wakil Perancis, Melissa Alves yang berada di tangga No. 20 dunia sehari lebih lewat berbanding Aira dan Sivasangari apabila dia dijadual turun gelanggang, esok.
Sementara itu, nasib berbeza mengiringi satu-satunya wakil Malaysia dalam saingan lelaki iaitu Ng Eain Yow yang terkandas seawal pusingan pertama.
Pemain ke-12 dunia itu yang terpaksa berdepan bintang No. 3 dunia, Paul Coll dari New Zealand tunduk menerusi kekalahan straight set 7-11, 8-11, 6-11 dalam masa 60 minit.
Klasik Qatar merupakan Jelajah Dunia berstatus Platinum pertama yang dianjurkan, musim ini, menawarkan hadiah lumayan, wang tunai bernilai hampir RM1 juta (AS$231,500) beserta pingat dan trofi. – UTUSAN