Adam Rakib tundukkan bekas juara dunia K1

Adam Rakib tundukkan bekas juara dunia K1

Adam Rakib menewaskan petarung dari Jepun, Toma Kuroda menerusi keputusan juri pada aksi ONE Friday Fights 126 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, semalam. - IHSAN FIGHT RECORDS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petarung negara, Adam Rakib mencipta sejarah sensasi apabila menumbangkan bekas juara dunia kickboxing K1 dua kali dari Jepun, Toma Kuroda dalam aksi sulungnya acara kickboxing di pentas ONE Championship.

Aksi penuh bersejarah itu berlangsung pada ONE Friday Fights 126 di Stadium Lumpinee, Bangkok malam tadi dengan Adam mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang tiga pusingan.

Meskipun kali pertama beraksi di bawah peraturan kickboxing, Adam tidak gentar dan berjaya mendominasi perlawanan menentang lawan yang jauh lebih berpengalaman.

Keputusan juri sebulat suara (unanimous decision) diberikan kepada Adam selepas dia jelas menguasai gelanggang menentang Kuroda dalam pertarungan tiga pusingan selama tiga minit.

Lebih manis, kemenangan ini menjadi penebus semangat buat Adam selepas tewas menerusi Technical Knockout (TKO) kepada petarung Perancis, Nahyan Mohammed pada ONE Friday Fights 116 Julai lalu.

Adam sebelum itu sudah membuktikan kehebatannya apabila menundukkan Nahyan pada aksi sulung Mei lalu menerusi kemenangan tipis split decision.

Kejayaan menumbangkan Kuroda jelas mengangkat reputasi Adam yang kini semakin mencuri perhatian dunia dalam sukan tempur berprestij itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN