Adam Rakib mula cipta nama

Adam Rakib mula cipta nama

Adam Rakib menewaskan petarung dari Jepun, Toma Kuroda menerusi keputusan juri pada aksi ONE Friday Fights 126 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, semalam. - IHSAN FIGHT RECORDS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Adam Rakib kini semakin meniti di bibir peminat seni tempur dunia selepas mencipta kejutan besar menumbangkan bekas juara dunia K1 dari Jepun, Toma Kuroda.

Aksi penuh sensasi itu berlangsung pada ONE Friday Fights 126 di Stadium Lumpinee, Bangkok semalam dalam penampilan sulung Adam di pentas kickboxing.

Lebih mengagumkan, petarung berusia 17 tahun itu tidak gentar berdepan lawan yang memiliki reputasi hebat sebagai juara K-1 Japan GP 2021 dan K-1 World GP 2022.

“Terima kasih semua orang Malaysia dan Thailand sokong Adam. Terima kasih semua,” kata Adam menerusi laman Instagram hari ini.

Penutup penuh bergaya itu hadir selepas Adam jelas mendominasi setiap detik pertarungan menentang Kuroda hingga tamat tiga pusingan.

Adam yang mempamerkan serangan agresif sepanjang tiga pusingan berjaya menguasai gelanggang sehingga juri sebulat suara mengisytiharkan kemenangan memihak kepadanya.

Kuroda bukan lawan biasa kerana rekod profesionalnya 14 kemenangan, tiga kekalahan dan satu seri termasuk lima kemenangan knockout selain berada dalam kelompok 10 terbaik dunia strawweight.

Kejayaan ini sekali gus menjadi penebus maruah selepas Adam tewas kepada petarung Perancis, Nahyan Mohammed menerusi Technical Knock Out (TKO) pada ONE Friday Fights 116 Julai lalu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN