PROGRAM Ilmu, Maju, Aktif, Nekad (IMAN) berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Seramai 263 murid Tahun 4, 5 dan 6 sekolah itu mengikuti ceramah tentang bahaya setelah terjebak dengan penagihan dadah dan vape.
Program diadakan itu anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau dengan kerjasama Majlis PEMADAM daerah Kuala Muda.
Pada masa ini ramai murid sekolah rendah terjebak dengan gejala tersebut.
Guru besar sekolah itu, Azman Said berkata, murid sekolah di luar bandar agak payah terjebak dari penagihan dadah dan vape bila mereka tahu tentang penyakit yang bakal menimpa nanti.
“Semua 263 murid sekolah ini, masing-masing sudah pun ada cita-cita untuk menjadi generasi yang baik pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, ceramah program IMAN yang diadakan, berjaya memberi pelbagai kebaikan, termasuk kepada seramai 17 orang guru sekolah itu.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah itu, Nooraida Khamis pula berkata, murid yang menyertai program itu dikategorikan sebagai bertuah kerana sudah ada ilmu di peringkat awak tentang bahaya penyalah gunaan dadah dan risiko menghisap vape. – UTUSAN