WZWF 2025 angkat Malaysia sebagai hab global wakaf, zakat

WZWF 2025 angkat Malaysia sebagai hab global wakaf, zakat

MOHD. Na'im Mokhtar menerima penyerahan cek daripada Pegawai Strategi Kumpulan MBSB, Datuk Azlan Shahrim (dua kanan) diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar (kiri) dan Setiausaha Eksekutif WZWF, Rizal Kamaruzzaman (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Tajaan dan Sidang Akhbar Penganjuran Mesyuarat Tahunan ke-14 dan Persidangan Antarabangsa World Zakat dan Waqf Forum (WZWF) 2025 di Hotel Seri Pacific di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Persidangan Tahunan dan Antarabangsa World Zakat and Waqf Forum (WZWF) kali ke-14 yang akan berlansung dari 13 hingga 15 Oktober depan di Hikmah Exchange Event Centre, Sarawak memperkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia wakaf dan zakat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar berkata, penganjuran forum itu mencerminkan komitmen konsisten Malaysia dalam memperkukuh syiar Islam dan membina masa depan komuniti global.

“Malaysia telah membuktikan pencapaian penting dalam bidang pembangunan sosial dan ekonomi Islam, sama ada melalui kepimpinan intelektual mahupun pengembangan produk perkhidmatan merentasi kewangan Islam, haji, modal insan, zakat dan wakaf.

“Kita juga muncul sebagai peneraju dalam inisiatif perintis wakaf korporat, takaful, kewangan sosial Islam serta penggunaan teknologi inovatif,” katanya ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Cek Cura Tajaan dan Sidang Akhbar Penganjuran Mesyuarat Tahunan ke-14 dan Persidangan Antarabangsa World Zakat dan Waqf Forum (WZWF) 2025 di sini, hari ini.

Ridzwan berkata, WZWF 2025 akan memberi tumpuan kepada usaha memperbaharui keusahawanan wakaf dengan memanfaatkan teknologi digital, pembangunan sosioekonomi serta keterlibatan budaya.

“Forum ini juga berhasrat untuk mengetengahkan wakaf dalam kehidupan individu, keluarga, komuniti, masyarakat, negara dan rantau selaras kerangka Global Zakat and Waqf Order yang telah dilancarkan semasa WZWF 2024 di Jakarta,” katanya.

Beliau berkata, forum tersebut bakal menerima penyertaan perwakilan dari pelbagai negara termasuk Afrika Selatan, Australia, Kanada, Hong Kong, Bangladesh, Arab Saudi, Bosnia dan Herzegovina, Nigeria, Liberia, Sierra Leone serta negara-negara ASEAN.

“Mengangkat tema ‘Wakaf & Zakat Global Baharu-Penyelesaian Inovatif bagi Cabaran Kontemporari dan Pembangunan Sosioekonomi serta Digital Masa Hadapan’, WZWF 2025 akan menampilkan sesi pleno oleh pakar, perbincangan dasar, bengkel interaktif serta sesi pertukaran solusi.

“Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada transformasi digital, pelaburan berimpak serta kerjasama rentas sempadan bagi pembangunan sektor kewangan Islam khususnya zakat dan wakaf,” katanya. 

Menurutnya, antara penaja utama persidangan itu termasuk Kumpulan MBSB, YWM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), BERNAS, Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC), Pusat Pungutan Zakat–MAIWP (PPZ-MAIWP) dan Yayasan Infaq ANGKASA.

“Persidangan turut disokong oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) sebagai Rakan Ilmu dan peluang tajaan bagi WZWF 2025 masih dibuka kepada rakan strategik lain.

“WZWF kali ini turut dianjurkan bersama oleh Kerajaan Sarawak, MIS dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang juga bertindak sebagai penaja utama.

“Kolaborasi ini menandakan pencapaian bersejarah Sarawak dalam memposisikan diri sebagai peneraju tadbir urus zakat dan wakaf progresif di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN